Euforia Bola 2026
Didik

Isu Gunting Tudung Pelajar: Guru Mohon Maaf, Dipindahkan Sekolah & Tudung Sudah Diganti Baharu

tudung sekolah

Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Lahad Datu, Sabah dilaporkan berdepan pengalaman memalukan apabila tudung sekolah sendiri dipotong oleh seorang guru, dipercayai kerana tidak memenuhi piawaian ‘labuh’ yang ditetapkan.

Insiden yang dikatakan berlaku pada minggu pertama sesi persekolahan 2026 itu mencetuskan perhatian ramai selepas dikongsikan di laman Facebook Info Lahad Datu, lengkap dengan gambar tudung murid berkenaan yang jelas kelihatan ada kesan guntingan.

Baca juga: Tak Perlu Beratur Di Kantin, Murid SJKC ‘Order’ Makanan Guna Aplikasi, Terus Dihantar Ke Kelas!

TUDUNG SEKOLAH DIKATAKAN TAK CUKUP LABUH, CIKGU GUNTING KAIN TUDUNG

tudung sekolah

Foto: Info Lahad Datu

Menurut perkongsian tersebut, murid itu pulang ke rumah dalam keadaan menangis dan terkesan emosi, apatah lagi tudung yang dipotong merupakan tudung baharu, bersaiz paling besar dan baru sahaja dibeli oleh keluarganya.

“Kalau tak dibenarkan pakai, tudung itu boleh saja disedekahkan. Kenapa perlu dipotong?” tulis halaman berkenaan.

Info Lahad Datu turut menegaskan bahawa walaupun perkara itu mungkin kelihatan kecil pada sesetengah pihak, namun kesannya sangat mendalam terhadap seorang anak muda.

“Jika niatnya untuk mendidik, ingatlah bahawa yang dipotong itu bukan kain kosong, tetapi perasaan seorang anak. Teguran yang baik lebih sampai ke hati berbanding hukuman yang menyakitkan..” tulisnya lagi.

Susulan itu, mereka menggesa agar guru berkenaan tampil memohon maaf secara terbuka, selain menyarankan ibu bapa murid membuat laporan polis bagi memastikan keadilan ditegakkan.

Guru Dipindahkan, Sudah Mohon Maaf & Ganti Tudung

tudung sekolah

Foto: Info Lahad Datu

Perkembangan terkini yang dilaporkan oleh Sinar Harian memaklumkan bahawa guru yang terlibat telah dipindahkan ke sekolah lain.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, menjelaskan bahawa tindakan tersebut diambil melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu.

Menurut beliau, guru berkenaan telah memohon maaf kepada ibu bapa murid, selain menggantikan semula tudung yang dipotong. Murid terbabit pula kekal meneruskan persekolahan di sekolah yang sama.

Dalam masa yang sama, Datuk Raisin menasihatkan para guru agar lebih berhemah dan berhati-hati dalam setiap tindakan, termasuk mengambil kira kemampuan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya mematuhi peraturan sekolah, yang digariskan berdasarkan panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) demi kebaikan semua pihak.

“Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang di sekolah lain,” katanya.

Insiden ini sekali lagi membuka perbincangan tentang pendekatan mendidik yang lebih berempati, khususnya apabila melibatkan kanak-kanak yang masih membina keyakinan diri dan emosi. Dalam usaha mendisiplinkan, nilai kemanusiaan tidak seharusnya diketepikan.

*Kalau tak cukup labuh kenapa perlu digunting untuk ‘memendekkan’ tudung itu lagi?

Baca juga: Tiada Surau, Rita Rudaini & Anak-Anak Solat Subuh Tepi Mesin ATM Di R&R Luar Negara..Netizen Puji

Sumber: Info Lahad Datu, Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×