Isteri hamil yang menjadi korban kemalangan, diikuti pemergian suaminya hanya empat hari kemudian, mengundang linangan air mata ramai. Biarpun ajal menjemput pada waktu berbeza, takdir seakan tidak mahu memisahkan kasih mereka di dunia dan akhirat.
Baca juga: Remaja OKU Penuh Beradab Betulkan Tudung Nenek Dalam Tren, Ramai Sebak & Doakan Rezeki Mereka Mewah
ISTERI HAMIL MENINGGAL DUNIA, SUAMI MENYUSUL 4 HARI KEMUDIAN

Wan Farahana yang sarat mengandung pergi dahulu meninggalkan suami tercinta, Nurihsan Nordin yang masih dirawat akibat kecederaan.
Namun, belum pun luka fizikal dan emosi keluarga sempat sembuh, Nurihsan pula menyusul ke negeri abadi sejurus dibenarkan discaj dari hospital dan meninggalkan dua cahaya mata mereka yang masih kecil.
Perkongsian pilu ibu saudara mereka, Wan Samira, di media sosial menjadi tular dan mengundang sebak ramai.
Dalam hantarannya, dia berkongsi detik terakhir Nurihsan bersama anak-anak dan ibunya yang merupakan momen kecil yang kini menjadi kenangan terakhir buat keluarga.
“Bagi yang mengenali anak saudara saya Nurihsan Nordin, jika dia ada hutang atau apa apa yang belum selesai boleh DM. Arwah telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Semalam discaj, sempat makan bersama anak-anaknya. Anak-anak suap abi.
“Ise (nama panggilan untuk Nurihsan) nak balik tengok anak-anak ya, nak makan masakan ma buat kali terakhir. Ise suruh ma buat air oren semalam. Ise tak habis makan, Mokteh habiskan nasi Ise. Mokteh sayang Ise.
“Ise rindu Farah kan? Allahu, ujian berat penghujung tahun 2025,” titipnya.

Gambar Kelantan Post.
Menurut laporan, keluarga ini terlibat dalam kemalangan di berhampiran Perumahan PPR Bukit Belah, Machang, Kelantan pada 19 Oktober lalu. Nahas yang berlaku sekitar tengah malam itu membabitkan dua kenderaan, Toyota Vios dan Proton Exora.
Komander Operasi, PBK II KUP Mohd. Andera Md Yusof memaklumkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.32 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang bergegas ke lokasi.
Hasil siasatan mendapati, Wan Farahana meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nurihsan mengalami kecederaan serius pada paru-paru, tulang pinggul serta gegaran otak. Dua anak mereka hanya mengalami kecederaan ringan.
Empat hari selepas kemalangan, cinta dua insan itu kembali bersatu. Jenazah suami isteri ini dikebumikan bersebelahan, ibarat simbol kasih yang kekal hingga ke hujung nyawa.
“B… B ikut sayang juga, ya?” “Sayang, B dah datang ni.” Ungkapan yang dikongsikan oleh Wan Samira itu seolah-olah menggambarkan sepasang jiwa yang enggan berpisah.
“Allahuakbar. Agaknya beginilah dialog terakhir antara suami dan isteri ini — Farah dan Ise.
“Mokteh sudah pulang untuk menguruskan segala hal lain di rumah. Mokteh juga akan menjaga anak-anak arwah Ise dan Farah.
“Alhamdulillah, semua urusan pengebumian telah selesai dan berjalan dengan baik. Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan arwah berdua.
“Jika ada sebarang urusan berkaitan arwah Ihsan dan Farah, boleh hubungi saya. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terus menitipkan doa buat kedua-dua arwah,” kongsinya.
Di media sosial, warga maya tidak putus menitipkan doa dan kata-kata semangat buat keluarga yang ditinggalkan, khususnya dua anak kecil pasangan ini.
Baca juga: Pemandu Lori Simen Maut Serangan Jantung Sewaktu Cari Rezeki, Rempuh Kereta Di Kubang Kerian
Sumber: Wan Samira
FT Image: Facebook Wan Samira
