Baru-baru ini, tular kisah Iskandar Warid Mohd Nazrul Izad, seorang bekas pelajar MRSM Kuantan, yang berjaya diterima mengikuti pengajian perubatan di Kursk State Medical University, Rusia pada usia 17 tahun.
REMAJA KUANTAN BERJAYA LANJUT PENGAJIAN PERUBATAN DI UNIVERSITI RUSIA

Iskandar Warid bersama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mengikuti pengajian luar negara pada usia muda
Bapanya, Datuk Seri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad, meluahkan rasa bangga atas pencapaian anaknya.
“Ketika rakan seusianya bertungkus-lumus untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia sudah mengikuti pengajian di universiti luar negara.
“Dia akan berangkat esok (Rabu) dan akan pulang semula Disember depan untuk menduduki peperiksaan SPM,” kata ahli perniagaaan ini.
Iskandar ditawarkan tempat menggunakan keputusan percubaan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE UK) yang didudukinya tahun lalu.
Bapanya menambah, potensi anaknya telah dikesan sejak di bangku sekolah rendah lagi, dibuktikan melalui pelbagai anugerah kecemerlangan sepanjang berada di MRSM.
“Siapa sangka anak Beserah ini mampu terbang jauh untuk mengejar cita-citanya sebagai doktor dan ahli politik suatu hari nanti.
“Dia akan mengambil mengikuti pengajian selama tujuh tahun untuk menjadi seorang doktor dan boleh memilih untuk menjalani latihan kedoktoran di hospital luar negara atau di negara ini,” katanya.
Cita-cita menjadi pakar kanser, terkesan pemergian datuk kesayangan
Iskandar sendiri bertekad memanfaatkan peluang keemasan ini sebaik mungkin.
“Insha Allah, saya akan belajar bersungguh sungguh demi mencapai cita-cita menjadi seorang doktor pakar kanser suatu hari nanti.
“Saya sendiri terkesan apabila datuk kesayangan meninggal dunia akibat kanser paru-paru.Sebab itu saya berhasrat untuk menjadi seorang pakar kanser,” ujarnya.
Remaja ini turut menaruh harapan untuk melakukan penyelidikan bagi mencari kaedah rawatan kanser yang lebih berkesan dan mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian

