Sebuah insiden anak tercicir yang baru-baru ini berlaku di Pahang, telah mendapat perhatian ramai selepas dimuat naik oleh Polis Daerah Raub di Facebook sebagai peringatan masyarakat.
Di mana, anak kecil yang baru berusia 2 tahun itu tidak sengaja ditinggalkan oleh keluarganya selepas mereka selesai menjamu selera di sebuah restoran.
INSIDEN ANAK TERCIRIR AKIBAT SALAH FAHAM KELUARGA

Gambar: Polis Daerah Raub
Seorang lelaki Melayu yang kebetulan berada di kawasan parkir telah melihat kanak-kanak itu berjalan sendirian di tempat letak kereta sebuah restoran.
Dia menunggu hampir 45 minit di situ untuk memastikan tiada apa-apa berlaku, sebelum membawa si kecil itu ke Balai Polis Raub untuk membuat laporan.
Kemudiannya, pasukan polis mula bertindak pantas dan berjaya menghubungi keluarga kanak-kanak itu. Sejurus itu, ibu bapa kanak-kanak itu hadir sekitar jam 4.00 petang setelah dimaklumkan oleh pihak balai.
Rupa-rupanya, telah berlaku salah faham kecil di antara ahli keluarga kanak-kanak tersebut semasa perjalanan pulang ke Johor Bahru.
Keluarga tersebut yang menaiki dua kenderaan berasingan telah menyangka anak mereka berada bersama makciknya, menyebabkan si kecil tertinggal di restoran.
Setibanya di Kuala Lumpur, ibu bapa tersebut baru menyedari anak mereka tiada bersama. Si ibu, lantas menghubungi kakaknya di kenderaan lain untuk menanyakan keberadaan anaknya itu.
Setelah mendapati anak mereka tiada bersama keluarga, pasangan tersebut segera menghubungi pihak restoran, sebelum mendapat makluman bahawa anak mereka sudah berada di balai polis.
Baca juga: Remaja 16 Tahun Hilang, Polis Mohon Bantuan Orang Ramai Jika Ada Maklumat Nor Adlina!

Gambar: Polis Daerah Raub
Situasi yang bermula dengan panik itu akhirnya berakhir dengan rasa syukur dan penuh lega. Keprihatinan orang awam dan tindakan pantas pihak polis telah memastikan si kecil selamat dan kembali ke pangkuan keluarga dengan baik.
Polis turut menasihatkan masyarakat agar lebih peka terhadap anak-anak dan persekitaran, supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.
Bagi ibu bapa di luar sana, insiden ini juga mengingatkan supaya sentiasa memantau anak-anak ketika berada di tempat awam, memastikan komunikasi jelas antara ahli keluarga semasa perjalanan dan sentiasa menyemak keberadaan anak sebelum meninggalkan mana-mana lokasi.
Langkah-langkah kecil ini boleh mencegah kejadian yang tidak diingini. Terima kasih kepada lelaki yang menemui si kecil dan anggota polis yang membantu memastikan semuanya selamat.
Sumber: Polis Daerah Raub
FT Image: Polis Daerah Raub
