Menyusukan anak adalah satu tanggungjawab dan fitrah ibu, namun masih ramai yang tidak memahami cabaran sebenar ibu menyusu.
Tidak jarang apabila ibu menyusu di tempat awam, ada yang terasa pelik atau malu melihatnya. Persepsi ini wujud kerana masyarakat sering mengaitkan payudara dengan seksualiti, kurang pendedahan tentang penyusuan dan norma sosial yang memandang ringan peranan susu ibu.
Baca juga: LPPKN Anjur Program BuAI Untuk Pasangan TTC, Kalau Cukup Syarat Ini Boleh Mohon!
PERKONGSIAN IBU MENYUSU DIANGGAP GELI, RAMAI TAK SELESA

1. Payudara organ seksual
Dalam masyarakat kita, payudara sering dikaitkan dengan organ seksual berbanding fungsinya yang sebenar, iaitu memberi makan kepada bayi.
Akibatnya, apabila ada ibu menyusu atau memerah susu di tempat awam walaupun tertutup, sesetengah orang melihatnya dengan sudut seksual dan menganggap ibu itu “tidak malu”. Budaya ini ada yang menyamakan susu ibu dengan air mani kerana norma sosial yang menekankan aspek seksual payudara lebih kuat daripada fungsi penyusuan.
2. Norma sosial & iklan susu formula
Kita dibesarkan dengan iklan susu formula, bukan susu ibu. Susu ibu bukan budaya yang biasa dipaparkan dalam masyarakat. Data WHO (2015–2021) menunjukkan hanya sekitar 48% ibu yang menyusukan anak secara eksklusif.
Iklan susu formula menggambarkan ia sebagai normal, tetapi jarang kita terpikir bagaimana susu formula itu diperah dari lembu dengan mesin.
3. Kurang pengetahuan/pendedahan
Sesetengah wanita, termasuk ibu yang tidak menyusukan anak atau wanita yang belum berkahwin, tidak memahami cabaran penyusuan susu ibu.
Mereka mungkin tidak tahu tentang alahan susu formula (cow’s milk protein allergy), cabaran ibu menyusu di tempat kerja, atau tekanan sosial yang dialami ibu.

4. Pengalaman peribadi/trauma
Ada ibu yang sebelum ini gagal menyusukan anak kerana pelbagai faktor atau mengalami tekanan ketika menyusu. Ada juga yang pernah mendengar komen negatif terhadap penyusuan di khalayak.
Pengalaman ini boleh mencetus trauma atau emosi tertentu, menyebabkan sesetengah ibu atau wanita menafsir penyusuan sebagai sesuatu yang pelik atau menjengkelkan.
Nad Masrom menegaskan, penyusuan susu ibu bukan aurat dan bukan perbuatan memalukan. Namun, ibu yang menyusukan anak perlu menjaga adab, aurat, dan akhlak.
Menyusu adalah hak dan fitrah ibu, bukan sesuatu yang memalukan. Persepsi negatif masyarakat lebih disebabkan budaya, kurang pendedahan, dan pengalaman peribadi, bukan kerana tindakan ibu itu sendiri.
Oleh itu, ibu digalakkan menyusukan anak dengan penuh keyakinan sambil menjaga adab dan akhlak.
Baca juga: Ibu Terkejut Satu Badan Menggigil Selepas Bersalin, Nak Pegang Anak Pun Tak Larat! Rupanya Ini Punca
Sumber: Threads Nad Masrom
