Euforia Bola 2026
Asuh

“Saya Tak Salah Pilih” – Ibu Cina Jelaskan Sebab Hantar Anak ke Tadika PASTI, Jawab Kecaman Dengan Tenang

Keputusan seorang ibu berbangsa Cina menghantar anaknya ke Tadika PASTI Cha’ah, Johor baru-baru ini mencuri perhatian ramai terutamanya di media sosial.

Perkongsian itu bukan sahaja tular, malah mencetuskan pelbagai reaksi termasuk mesej peribadi yang kurang menyenangkan.

Baca juga: “Kita Satu Malaysia” – Kisah Ibu Cina Hantar Anak Ke Tadika PASTI Buat Ramai Tersentuh, Fasih Bahasa Melayu!

IBU BANGSA CINA HANTAR ANAK TADIKA PASTI CHA’AH, INI PENJELASAN

Tadika PASTI Cha’ah

Namun bagi Zhu Er Chan, pilihannya itu dibuat bukan untuk mencetuskan sensasi, sebaliknya berasaskan pertimbangan paling asas bagi seorang ibu iaitu pendidikan dan pengalaman terbaik buat anak tersayang.

Menurut penjelasan Zhu Er Chan di laman TikToknya, Tadika PASTI Cha’ah bukanlah pilihan rawak. Lokasinya terletak di kampung halaman tempat dia membesar, malah ibunya juga masih menetap di kawasan tersebut.

“Tadika PASTI Cha’ah terletak di kampung saya sendiri, tempat saya membesar. Mak saya pun masih tinggal di sini. Saya rasa tadika ini sesuai dan beri peluang untuk anak saya belajar dan bergaul,” jelasnya.

Bagi dirinya, persekitaran yang dikenali, suasana kampung dan komuniti setempat menjadi faktor utama dalam membuat keputusan tersebut.

Dikecam Kerana Berbeza, Tapi Kekal Tenang

Tadika PASTI Cha’ah

Namun, di sebalik niat murni itu, Zhu Er Chan tidak terlepas daripada menerima kecaman. Sebagai seorang ibu bukan Melayu dan bukan beragama Islam yang menghantar anak ke tadika beraliran Melayu-Islam, dia mengakui menerima beberapa mesej kasar daripada individu yang tidak bersetuju dengan pilihannya.

Situasi ini secara tidak langsung mencerminkan cabaran dalam masyarakat majmuk, di mana perbezaan budaya dan identiti masih menjadi isu sensitif, walaupun melibatkan soal pendidikan kanak-kanak. Bagaimanapun, Zhu Er Chan memilih untuk tidak melayan kritikan negatif tersebut.

Sebaliknya, dia memberi tumpuan penuh kepada perkembangan anaknya. Dalam tempoh kira-kira tiga bulan mengikuti sesi pembelajaran di Tadika PASTI Cha’ah, perubahan positif jelas kelihatan.

Anaknya kini sudah mampu menyebut beberapa perkataan asas dalam Bahasa Melayu, menyanyikan lagu-lagu Melayu dan kelihatan ceria setiap kali ke sekolah. Zhu Er Chan turut memuji sikap guru-guru di tadika tersebut yang disifatkan sebagai penyayang, sabar dan benar-benar berdedikasi dalam mendidik kanak-kanak tanpa mengira latar belakang.

Dalam masa sama, ibu ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang memberikan kata-kata sokongan dan mesej positif. Walaupun tidak sempat membalas satu persatu komen yang diterima, Zhu Er Chan menegaskan setiap sokongan itu dibaca dan amat dihargai.

Dalam dunia yang semakin mencabar, pengalaman, pendedahan budaya dan kasih sayang yang diterima anak-anak sejak kecil itulah yang akan membentuk masa depan mereka. Dan bagi seorang ibu, melihat anak membesar dengan gembira dan yakin… itulah kejayaan sebenar.

Baca juga: “Bukan Sekadar Taska, Ini Dapur Kasih Sayang” – Owner Taska Masak Sendiri Untuk Anak Jagaan, Menu Sihat & Sedap Licin Pinggan!

Sumber: Tiktok @joeychan427

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×