Baru-baru ini, kisah seorang ibu buta yang terpaksa merangkak keluar rumah demi mendapatkan pertolongan telah mengundang sebak ramai. Di mana, kejadian menyayat hati ini dipercayai berlaku di Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan, Sarawak.
Berdasarkan laporan media, wanita warga emas itu bernama Jariyah Suut, 69 tahun, dalam kondisi buta sepenuhnya telah ditemui orang awam di tepi jalan besar kira-kira jam 6.30 pagi dalam keadaan amat lemah.
Baca juga: Permohonan Peperiksaan Perkhidmatan Awam 2026 Dah Buka, Cepat Mohon Sebelum Tarikh Tutup!
IBU BUTA MERANGKAK KELUAR MINTA BANTUAN

Gambar: Ngu Hownhua.
Difahamkan, Jariyah telah merangkak sejauh lebih kurang 150 meter dari rumahnya untuk mencari bantuan.
Situasi tragis ini berlaku selepas wanita tersebut terpaksa tinggal bersama mayat anak perempuannya yang telah meninggal dunia selama beberapa hari.
Anak tunggalnya yang berusia 48 tahun sebelum itu dikatakan mengadu sakit dada dan sesak nafas pada 30 November lalu.
Selepas menyedari anaknya telah tidak bernyawa, si ibu yang uzur dan buta sepenuhnya tidak mampu melakukan apa-apa selain menunggu bantuan yang tidak kunjung tiba. Rumah mereka terletak di kawasan belukar, menyebabkan keadaan semakin sunyi dan terpencil.
Bau kuat daripada mayat yang semakin mereput akhirnya memaksa wanita tersebut mengumpulkan kudrat terakhir untuk menyelamatkan diri.
Dengan berpandukan sentuhan tangan di sepanjang laluan denai kecil, Jariyah merangkak perlahan-lahan walaupun dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
Baca juga: [VIDEO] Masjid Di Aceh Berdiri Teguh Dalam Banjir Besar, Ibarat Jadi ‘Saksi’ Saat Sekitarnya Musnah!

Gambar: Ngu Hownhua.
“Bagaimanapun, bau busuk yang semakin kuat pada 4 Disember menyebabkan si ibu tidak lagi mampu bertahan, lalu mengumpulkan seluruh tenaga untuk merangkak keluar dari rumah mereka dengan berpandukan sentuhan di sepanjang laluan denai sempit sejauh kira-kira 150 meter.
“Wanita itu merangkak dalam keadaan lemah dan tanpa penglihatan sehingga akhirnya tiba di tepi jalan besar pada awal pagi keesokan harinya sebelum ditemui orang awam,” ujar Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin dalam kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, hasil pemeriksaan di rumah mendapati mayat anak wanita itu telah meninggal dunia lebih lima hari.
Siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah, dan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah serangan jantung akibat tiga saluran jantung tersumbat sepenuhnya. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau Sudden Death Report (SDR).
Baca juga: Tercicir Dari Keluarga, Anak 2 Tahun Berjaya Diselamatkan Polis & Orang Awam
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Ngu Hownhua
