Dalam bab perkahwinan, ramai dalam kalangan masyarakat masih keliru tentang hukum-hakam khususnya apabila melibatkan hubungan kekeluargaan yang terbentuk selepas perkahwinan. Antara soalan yang paling kerap diajukan ialah, adakah sah berkahwin dengan anak bekas isteri?
Isu ini dijelaskan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu rakaman video di YouTube beliau baru-baru ini.
Baca juga: Pengantin Lelaki Sebut ‘Aku Terima’ Sahaja Semasa Akad Nikah, Sah Atau Tak?
HARAM ATAU TAK KAHWIN DENGAN ANAK BEKAS ISTERI? RAMAI YANG PENING…

Foto hiasan.
Menurut UAI dan Mufti Wilayah Persekutuan, seseorang wanita yang dikahwini dan telah disetubuhi akan menyebabkan semua anaknya sama ada lahir sebelum atau selepas perkahwinan dikira sebagai anak tiri kepada suaminya.
“Kalau kita (lelaki) kahwin dengan seorang janda dan berlaku jimak, semua anaknya daripada perkahwinan dahulu terus menjadi anak tiri kita,” jelas beliau.
Begitu juga jika seorang lelaki menceraikan isterinya, kemudian wanita itu berkahwin lain dan mendapat anak, anak tersebut turut dianggap anak tiri.
UAI menegaskan bahawa anak tiri termasuk dalam kategori mahram, dan hukum berkahwin dengan mahram adalah haram. Dengan itu, jika sudah berlaku jimak antara suami dan isteri, maka semua anak perempuan isteri tersebut haram dinikahi selama-lamanya.
Jika Belum Jimak, Status Berbeza

Foto hiasan.
Namun, situasinya berbeza jika perkahwinan berlaku tetapi belum disertai persetubuhan.
“Kalau kahwin dengan janda tetapi belum melakukan jimak, anak perempuan wanita itu belum menjadi anak tiri,” katanya.
Dalam keadaan ini:
- Anak perempuan itu masih bukan mahram
- Lelaki tersebut boleh mengahwini anak perempuan bekas isterinya sekiranya perkahwinan itu dibubarkan sebelum berlaku persetubuhan
Contoh praktikal mudah difahami yang UAI berikan:
“Misalnya, kamu kahwin dengan wanita berumur 40 tahun. Selepas akad nikah, baru kamu tahu dia ada anak perempuan 20 tahun. Jika kamu menceraikan isteri sebelum berlaku jimak, kamu boleh berkahwin dengan anak perempuan bekas isteri itu,” katanya.
Kesimpulannya, hukum berkahwin dengan anak bekas isteri bergantung kepada sama ada telah berlaku persetubuhan atau belum:
1. Jika sudah jimak : Anak perempuan isteri menjadi anak tiri : Haram dikahwini.
2. Jika belum jimak : Anak perempuan itu bukan mahram : Harus dikahwini dengan syarat perkahwinan dengan ibunya dibubarkan terlebih dahulu.
Jadi, jangan sampai tersilap langkah kerana kalau salah dari sudut hukum, menyesal seumur hidup!
Baca juga: Tak Perlu Tunggu Faraid, Suami Boleh Serah 2% KWSP Kepada Isteri Setiap Bulan Guna Cara INI
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Idrus
