Istinjak guna tisu merupakan salah satu kaedah bersuci yang sering menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam, terutamanya apabila berada di tempat yang tidak menyediakan air untuk beristinjak.
Menerusi perkongsian Asma Harun di media sosial, beliau menjelaskan hukum istinjak menggunakan tisu tanpa air berdasarkan pandangan ulama dalam mazhab Syafi‘i.
ISTINJAK GUNA TISU DI LUAR NEGARA KERANA TIADA AIR

Kredit: Magnific
Walaupun penggunaan air adalah cara yang lebih sempurna dalam bersuci, ia bukan satu-satunya kaedah yang diwajibkan dalam istinjak.
Dalam mazhab Syafi‘i, istinjak juga boleh dilakukan menggunakan bahan kesat yang suci serta mampu menghilangkan najis dengan sempurna.
Pandangan ini turut disokong oleh ulama seperti Imam al-Nawawi yang menjelaskan bahawa diharuskan beristinjak menggunakan batu atau bahan lain yang mengambil hukumnya.
Ini bermakna, dalam konteks semasa, tisu tandas juga termasuk dalam kategori bahan yang boleh digunakan untuk beristinjak.
Walau bagaimanapun, penggunaan tisu sebagai alat istinjak perlu memenuhi beberapa syarat yang telah digariskan oleh para ulama, antaranya:
- Tisu mestilah suci dan tidak bernajis
- Tisu dalam keadaan kering serta mampu membersihkan najis
- Tisu bukan daripada bahan yang dimuliakan seperti makanan atau seumpamanya
Jika semua syarat ini dipenuhi dan najis dapat dibersihkan dengan sempurna, maka istinjak tersebut adalah sah di sisi syarak.
Air lebih afdhal tetapi tisu dibolehkan

Kredit: Magnific
Dalam penjelasan yang sama, beliau turut menyatakan bahawa cara yang paling afdhal ialah menggabungkan kedua-dua kaedah, iaitu membersihkan najis menggunakan tisu terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan air.
Namun, dalam keadaan tertentu seperti ketiadaan air atau kesukaran untuk mendapatkannya, penggunaan tisu sahaja yang memenuhi syarat sudah memadai dan sah untuk beristinjak.
Ustazah Asma’ Harun turut mengingatkan agar umat Islam tidak terlalu terjebak dengan rasa was-was dalam ibadah bersuci.
Selagi istinjak dilakukan mengikut kaedah yang dibenarkan syarak dan najis telah dibersihkan dengan sempurna, maka ia adalah sah dan tidak perlu diragui.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 222 menyebut:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
Perkongsian ini diharap dapat memberi kejelasan kepada umat Islam agar lebih yakin dalam bersuci, di samping mengelakkan rasa was-was dalam ibadah harian.
Baca juga: Surah Yang Dianjurkan Untuk Baca Ketika Ziarah Kubur, Cukup Ke Baca Al-Fatihah Sahaja?
Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun
