Mas kahwin atau mahar ialah harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya sebagai tanda penghargaan dan tanggungjawab selepas termeterainya akad nikah. Dalam Islam, pemberian ini bukan sekadar adat semata-mata, tetapi satu kewajipan yang mempunyai nilai syarak dan kehormatan bagi seorang wanita.
Bolehkah mas kahwin dibayar secara hutang?
Baca juga: Ramai Bela Burung Sebab Hobi, Tapi Betul Ke Dosa Kalau Tak Lepaskan Terbang? UAI ‘Settlekan’ Isu Ini
HUKUM MAS KAHWIN DIBAYAR SECARA HUTANG
Mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.”
Menurut al-Fiqh al-Manhaji (4/75), mas kahwin tetap wajib diberikan walaupun tidak disebut kadarnya semasa akad. Sekiranya pasangan sepakat untuk menafikan kewajipan itu, persetujuan tersebut terbatal dan mas kahwin tetap perlu diserahkan. Ini menunjukkan betapa Islam menekankan hak isteri terhadap pemberian ini.
Hukum berhutang mas kahwin
Berhubung hukum membayar mas kahwin secara hutang, hukumnya adalah diharuskan. Menurut al-Fiqh al-Manhaji (4/77), mas kahwin boleh berbentuk apa sahaja yang dianggap harta atau bernilai. Sama ada tunai, hutang atau manfaat seperti pakaian, tempat tinggal mahupun kemahiran.
Firman Allah SWT: “Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu.” (Surah al-Nisa’: 24)
Ayat ini menjelaskan bahawa pemberian mas kahwin tidak terikat dengan kadar tertentu, asalkan ia mempunyai nilai harta.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Engkau berikanlah perempuan itu walaupun sebentuk cincin besi.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa nilai mas kahwin tidak perlu besar, malah boleh diserahkan secara hutang asalkan mendapat persetujuan isteri. Namun demikian, masa pembayarannya perlu ditetapkan agar tidak menimbulkan pertikaian kelak.
Baca juga: Hukum Lelaki Mati Pucuk Berkahwin, Bimbang Tak Dapat Penuhi Keperluan Batin Isteri
Isteri berhak tolak persetubuhan sekiranya…
Mahar yang diserahkan secara hutang adalah dibenarkan, berdasarkan persetujuan isteri. Namun begitu, hendaklah ditentukan waktunya kerana itu adalah hak isteri. Menurut al-Fiqh al-Manhaji:
“Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan dengan segera. Ia boleh disegerakan atau ditangguhkan kesemuanya sebelum persetubuhan. Walau bagaimanapun, penangguhan itu hendaklah ditentukan masanya. Ini kerana mas kahwin itu milik isteri. Dia berhak meminta disegerakan atau ditangguhkan mengikut kehendaknya.
“Apabila mas kahwin tersebut diminta agar diserahkan segera, maka isteri berhak menahan dirinya daripada melakukan persetubuhan dengan suami sehinggalah mas kahwin diterimanya.
“Jika mas kahwin itu dipersetujui untuk ditangguhkan, isteri tidak berhak menahan diri daripada suami kerana dia sendiri telah bersetuju dengan penangguhan tersebut.”
Kesimpulan
- Mas kahwin adalah pemberian yang wajib diberikan kepada isteri apabila akad nikah sudah termeterai. Ia boleh diberikan secara tunai atau hutang.
- Akad nikah yang tidak dinyatakan mas kahwin adalah sah, walaupun ia tetap wajib diserahkan kemudiannya.
- Mas kahwin adalah hak isteri. Justeru, isteri ada hak untuk menghalang diri daripada disetubuhi suami sekiranya belum peroleh mas kahwin yang dimintanya segera.
- Sekiranya isteri telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran mas kahwin, maka dia tidak lagi layak menghalang diri daripada dipersetubuhi oleh suaminya. Namun, penangguhan itu perlu ditetapkan masanya.
Baca juga: Dek Perangai Taksub Selebriti, Sanggup Doa Perkara Tak Baik Pada Perkahwinan Orang, Ini Hukumnya!
Sumber: Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: Google

