Kita sering melihat senyuman di wajah orang lain tanpa pernah tahu apa yang sedang mereka hadapi. Setiap insan menempuh liku kehidupan yang berbeza, ada yang kesempitan rezeki, ada yang diuji dengan kehilangan, dan ada pula yang bertarung dengan penyakit kanser yang ‘menggoncang’ tubuh serta jiwa.
Seperti kisah luar biasa seorang wanita tabah, Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim, graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, yang bukan sahaja menamatkan pengajian, malah membawa semangat juang pesakit kanser ke pentas gah!
HIDAP PENYAKIT KANSER TAK HALANG GRADUAN BERDIRI GAH DI PENTAS KONVOKESYEN

Sangat menyentuh hati adalah Syahidatunnajwa bukan sekadar seorang pelajar, malah dia adalah simbol kekuatan. Sepanjang tempoh pengajian, dia telah menjalani 22 sesi kemoterapi dan 15 rawatan radioterapi, dan sehingga kini masih meneruskan rawatan susulan.
Namun, semua itu tidak pernah memadam semangatnya. Dengan jiwa yang kental dan harapan yang membara, Syahidatunnajwa berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam Pendidikan Rendah, IPG Kampus Tuanku Bainun dan hari ini berdiri megah di pentas konvokesyen bersama rakan seperjuangan!
Wanita ini juga bukan sekadar menggenggam ijazah yang cemerlang, tetapi turut membawa kisah perjuangan yang luar biasa.
Harapan Untuk Mereka Yang Masih Bertarung
@shafiqalsukriMotivasi untuk adik adik di luar sana terus semangat belajar sampai ke menara gading.. tahniah bakal guru 🤲🏻 semoga cepat sembuh 🤲🏻♬ suara asli – hooman ◡̈ – 𝙃𝙪𝙢𝙖𝙣 ◡̈
Kisah Syahidatunnajwa adalah ibarat cahaya buat mereka yang sedang berjuang dalam senyap. Ia membuktikan bahawa walaupun kita diuji sehebat mana sekalipun, ruang untuk bersinar tetap ada selagi kita memilih untuk terus melangkah.
Di ruangan komen laman media sosial juga dibanjiri dengan komen-komen positif dari para netizen yang berkongsi kisah perjalanan mereka dan memberi ucapan tahniah.
Semoga semangat beliau menjadi inspirasi buat kita semua. Dan marilah kita titipkan doa yang tidak pernah putus agar Syahidatunnajwa terus diberi kekuatan dan kesembuhan sepenuhnya.
Baca juga: Dua Kadet Malaysia Cipta Sejarah, Terpilih Ke Akademi Ketenteraan Terkemuka Amerika Syarikat!
Sumber: Tiktok @shafiqalsukri
