Guru hisap vape atau rokok di dalam kawasan sekolah berisiko berdepan tindakan undang-undang, termasuk denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa tindakan ini berlandaskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Baca juga: Tempurung Kepala Retak & Pendarahan Akibat Ditolak Rakan, “Mohon Doakan Anak Saya…”
GURU HISAP VAPE/ROKOK DI SEKOLAH BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN

Kosmo
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana guru yang menggunakan vape, terutamanya secara terbuka atau di hadapan murid, kerana ia jelas melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menuntut guru menjadi teladan dalam sahsiah.
Kenyataan ini diberikan oleh Fadhlina selepas ditanya oleh Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) yang membangkitkan isu segelintir guru menggunakan vape secara terbuka sehingga memberi contoh negatif kepada murid dan menjejaskan imej institusi pendidikan.
Fadhlina turut memaklumkan bahawa KPM sedang meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) bagi memasukkan larangan merokok dan penggunaan apa-apa bentuk rokok, peralatan elektronik, serta cecair vape.
Pindaan ini selaras dengan pelaksanaan Akta 852 yang telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 1 Oktober 2024.
Selain itu, larangan turut meliputi penjualan vape kepada individu berusia bawah 18 tahun, serta penguatkuasaan terhadap premis yang menjual vape dalam jarak 40 meter dari pagar atau sempadan sekolah.
“KPM menyeru kerjasama masyarakat dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau aktiviti jual beli vape melibatkan murid sekolah. Ibu bapa dan penjaga juga digesa untuk peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak agar mereka tidak terjerumus dalam ketagihan menghisap vape,” jelasnya.
Baca juga: Senarai Cuti Umum Malaysia 2026, Jadual Penuh Untuk Persekutuan & Negeri…
Sumber: Kosmo
