Satu fenomena astronomi iaitu gerhana bulan penuh atau dikenali sebagai Blood Moon dijangka berlaku pada 3 Mac 2026 bersamaan 13 Ramadan 1447H (Selasa).
Kejadian ini memberi peluang kepada umat Islam untuk menyaksikan tanda kebesaran Allah SWT di samping menghidupkan sunnah dengan menunaikan solat Sunat Gerhana atau solat Sunat Khusuf.
GERHANA BULAN PENUH DIJANGKA 3 MAC INI, DISARAKAN UNTUK SOLAT SUNAT

Berikut adalah perincian fasa gerhana yang dijadualkan berlaku mengikut waktu tempatan:
Permulaan gerhana penuh – Fasa gerhana penuh akan bermula pada jam 7.04 malam. Namun begitu, pada waktu tersebut bulan dilaporkan belum terbit di ufuk.
Kemuncak gerhana – Fasa kemuncak fenomena ini dijangka berlaku pada jam 7.33 malam.
Tamat gerhana penuh – Keseluruhan fasa gerhana penuh akan berakhir pada jam 8.02 malam.
Tamat gerhana separa – Fenomena gerhana secara keseluruhan dijangka berakhir sepenuhnya pada jam 9.17 malam.
Sehubungan itu, umat Islam disyorkan untuk menunaikan Solat Sunat Gerhana (Khusuf) dalam tempoh bermula jam 7.23 malam iaitu selepas waktu Maghrib sehingga jam 9.17 malam.
Solat Sunat Gerhana merupakan antara amalan yang dianjurkan ketika berlakunya fenomena gerhana bulan. Ia bertujuan mengingatkan manusia tentang kekuasaan Allah SWT serta menggalakkan umat Islam memperbanyakkan doa, zikir dan istighfar.
Dalam konteks Ramadan, pelaksanaan solat ini juga boleh diselaraskan dengan jadual ibadah lain seperti solat fardu dan solat tarawih bagi memastikan kelancaran pengurusan jemaah di masjid dan surau.
Cadangan pelaksanaan solat Sunat Gerhana Bulan

Berikut merupakan dua cadangan pelaksanaan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak pengurusan masjid dan surau:
Syor 1: Selepas Solat Maghrib
1. Solat Maghrib
2. Solat Ba’diah Maghrib
3. Solat Sunat Gerhana (tanpa khutbah atau dengan khutbah ringkas)
4. Solat Isyak
5. Solat Ba’diah Isyak
6. Solat Tarawih 20 rakaat
Syor 2: Selepas Solat Isyak
1. Solat Isyak
2. Solat Sunat Gerhana (tanpa khutbah)
3. Solat Ba’diah Isyak
4. Solat Tarawih 20 rakaat
Kedua-dua cadangan ini bergantung kepada kesesuaian jemaah serta perancangan pihak pengurusan masjid masing-masing.
Fenomena gerhana bulan penuh bukan sekadar peristiwa astronomi, sebaliknya ia juga menjadi ruang untuk umat Islam bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
