Euforia Bola 2026
Famili

Gempa Bumi Segamat: Malaysia ‘TIDAK KEBAL’, Ini 22 Lokasi Pernah Digegarkan & Ranau Paling Diingati!

gempa bumi malaysia

Awal pagi semalam, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di Segamat, Johor. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, gempa bumi Malaysia yang lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 kilometer itu berlaku pada jam 6.13 pagi.

Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang. Tidak lama kemudian, pada jam 9.00 pagi, gempa susulan bermagnitud 2.8 pula direkodkan di Yong Peng, Johor. Berdasarkan analisis, kedua-dua kejadian berpunca dari Zon Sesar Mersing.

Baca juga: AWAS! Ini Senarai Kawasan ‘Hotspot’ Kepala Air Di Perak & Kelantan, Elak Aktiviti Rekreasi

Gempa Bumi Malaysia Bukan Kali Pertama, Ada 22 Lokasi Pernag ‘Digegarkan’

gempa bumi malaysia

Foto Sinar Harian: Situasi selepas gempa di Segamat.

Ramai yang percaya Malaysia ‘selamat’ daripada bencana gempa bumi namun hakikatnya, negara kita tidak kebal. Perkongsian di laman media sosial ini mengingatkan kita bahawa terdapat sekurang-kurangnya 22 lokasi di Malaysia yang pernah digegarkan gempa. Antara yang paling diingati ialah tragedi gempa bumi di Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015.

Hari itu, para pendaki yang baru sahaja menawan puncak Kinabalu bersorak gembira menyambut matahari terbit. Namun, dalam sekelip mata, bumi bergoncang hebat. Batu besar berguguran, laluan indah bertukar menjadi lorong maut. Seramai 18 nyawa terkorban, termasuk pelajar sekolah dari Singapura dan malim gunung yang setia menemani.

Di pekan Ranau pula, orang ramai lari keluar rumah, dinding sekolah retak, jalan terbelah. Malam itu, ramai tidur di luar rumah bukan kerana sejuk, tetapi kerana takut gempa susulan. Lebih 90 gegaran direkodkan selepas gempa utama.

Selain Ranau, gegaran kecil pernah direkodkan di:

1. Semenanjung Malaysia – Bukit Tinggi (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Manjung & Temenggor (Perak), Tasik Kenyir (Terengganu).

2. Sarawak – Kuching, Samarahan, Bintulu, Bekenu, Niah, Selangau, Sri Aman.

3. Sabah – Lahad Datu, Kudat, Sandakan, Tawau, Kunak, Keningau, Kota Marudu, Pitas, Beluran dan Semporna.

Apa Yang Kita Boleh Buat?

gempa bumi malaysia

Foto contoh.

Walaupun Malaysia tidak kerap dilanda gempa, langkah pencegahan asas boleh diambil bagi melindungi diri dan keluarga. Berikut antara cara paling mudah dan praktikal:

1. Pastikan Laluan Keluar Tidak Terhalang

Perabot besar seperti almari atau peti sejuk berisiko tumbang. Susun perabot agar tidak menghalang pintu keluar.

2. Simpan Barang Pecah Belah Dengan Selamat

Pinggan mangkuk, gelas, atau peralatan tajam sebaiknya disimpan di kabinet bawah. Jika di rak atas, pastikan pintu bertutup rapat.

3. Elakkan Hiasan Berat di Tempat Tinggi

Jangan gantung cermin besar atau letak rak berat betul-betul di atas katil. Ia boleh mencederakan jika jatuh ketika gegaran.

4. Kunci Kabinet & Lapis Kaca

Gunakan klip keselamatan untuk kabinet tinggi. Tingkap kaca boleh ditampal filem perlindungan.

5. Pasang Sokongan Pada Perabot Besar

Gunakan tiang pengikat (tension poles) untuk menyokong almari atau peti sejuk supaya tidak mudah tumbang.

6. Stabilkan Perabot Kecil

Letak alas getah atau pengikat roda pada meja, kerusi dan katil agar lebih stabil.

7. Ikat Lampu Gantung

Pastikan lampu gantung diikat dengan kabel tambahan supaya tidak bergoyang kuat.

8. Lindungi Peralatan Elektronik

Televisyen dan ketuhar gelombang mikro boleh dipasang dengan pengikat dinding atau alas anti-gelincir.

Selain itu, setiap rumah wajar menyediakan kit kecemasan gempa berisi dokumen penting, makanan tahan lama, lampu suluh dan radio. Letakkan di tempat mudah dicapai supaya boleh segera dibawa keluar jika bencana berlaku.

Kesimpulannya, gempa bumi di Johor menjadi peringatan penting bahawa Malaysia tidak sepenuhnya bebas daripada bencana ini. Sejarah Ranau dan catatan gegaran di banyak lokasi seluruh negara membuktikan bahawa risiko tetap ada. Oleh tu, kita mungkin tidak mampu menghalang gegaran bumi, tetapi kita mampu mengurangkan risiko kecederaan dengan langkah pencegahan yang mudah.

Baca juga: 10 Tempat Hanya Indah Khabar Dari Rupa Di Malaysia, Kalau Pergi Rasa Serabut!

Sumber: Public Health Malaysia, Shahazwanfahmy Je, SinarPlus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×