Perkongsian imej terbaharu oleh NASA sekali lagi mencuri perhatian ramai, terutamanya apabila ia dikaitkan dengan perdebatan lama tentang bentuk bumi sama ada berbentuk sfera atau rata.
Kali ini, gambar yang diambil dari angkasa lepas menerusi misi Artemis II dilihat seakan ‘menjawab’ dakwaan golongan percaya bumi rata atau flat earther
Baca juga: Kecoh Pelajar Universiti Balas E-mel Dengan Bahasa Kesat & Mencarut, Netizen Persoal Mana Adab?
GAMBAR BENTUK BUMI DARI MISI ARTEMIS II CETUS REAKSI NETIZEN

Foto: Buletin TV3
Imej tersebut dirakam dari dalam kapsul Orion spacecraft ketika angkasawan sedang dalam perjalanan ke bulan.
Dalam perkongsian itu, dua angkasawan, Christina Koch dan Reid Wiseman, dilihat mengambil masa seketika untuk melihat ke arah bumi melalui tingkap kapal angkasa.
Pemandangan yang dirakam jelas memperlihatkan bumi dalam bentuk sfera dari jarak jauh di angkasa lepas.
Netizen ‘Berperang’ Di Ruang Komen Tentang Bentuk Bumi
Seperti dijangka, ruangan komen menjadi ‘panas’ dengan pelbagai reaksi daripada netizen, ada yang menyokong, tidak kurang juga yang masih skeptikal.
Antara komen yang mencuri perhatian ialah:
“Kami nak gambar sisi bumi, kenapa tak berani share?! Takut dengan kebohongan?! Kenapa semua gambar dari atas sahaja?!”
Selain itu, ada juga yang tampil menyokong fakta sains:
“Dah terbukti bumi bulat bukan mendatar.”
Namun, masih ada yang kekal dengan kepercayaan mereka:
“Ini tipu bro… ko percaya ke Artemis tu… sah-sah dari barat… bumi sebenarnya flat…”
Perbezaan pandangan ini menunjukkan isu bentuk bumi masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan segelintir masyarakat.
Misi Artemis II Kembali Ke Bulan

Foto: Buletin TV3
Untuk rekod, misi Artemis II melibatkan empat angkasawan iaitu Victor Glover, Christina Koch, Reid Wiseman dan Jeremy Hansen.
Mereka berlepas menggunakan roket Space Launch System dari Cape Canaveral, Amerika Syarikat.
Misi ini menjadi antara usaha penting manusia untuk kembali ke bulan selepas lebih 50 tahun sejak era Apollo program. Menariknya, laluan penerbangan misi ini menyerupai bentuk angka lapan, mengelilingi bumi dan bulan sebelum berpatah balik.
Ia dibangunkan berdasarkan kejayaan Artemis I yang berlangsung tanpa kru pada tahun 2022.
Kru dijadualkan mengelilingi bulan sebelum kembali ke bumi dan mendarat di laut, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam eksplorasi angkasa lepas.
Bukti Yang Terus Diperdebatkan
Walaupun pelbagai imej dan data telah dikongsikan oleh agensi angkasa seperti NASA, perdebatan tentang bentuk bumi sama ada flat atau sfera nampaknya masih belum berakhir sepenuhnya.
Namun begitu, majoriti komuniti saintifik global terus berpegang kepada bukti kukuh bahawa bumi berbentuk sfera disokong oleh pemerhatian, teknologi moden dan misi angkasa yang semakin maju.
Baca juga: Isu Panas Debat Vaksin TV Al-Hijrah, Dr. Harlina Tampil Bersuara
Sumber: Buletin TV3 dan Facebook Zamir Mohyedin
FT Images: Buletin TV3
