Tamat sahaja pengajian di alam universiti tidak kira di peringkat diploma atau ijazah, sudah pasti ramai dalam kalangan graduan yang mengimpikan amaun gaji yang tinggi. Mempunyai angan-angan akan mendapat gaji yang lumayan sebagai permulaan kerja namun hakikatnya, gaji fresh graduate di Malaysia tidak seperti itu.
Tular sebuah video memaparkan barisan graduan yang baru selesai majlis konvokesyen ditemubual tentang anggaran gaji yang mereka harapkan sebagai permulaan. Namun, jumlah yang dinyatakan ditertawa ramai dan dianggap angan-angan mat jenin sahaja.
Baca juga: Top 7 Kerjaya Paling Dapat Permintaan Tinggi Di Malaysia, Bidang Anda Tersenarai Tak?
MINTA GAJI FRESH GRADUATE RM3K- RM5K, NETIZEN CAKAP ‘JANGAN BERANGAN’

Video berdurasi 1.43 minit daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memaparkan 16 graduan terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh perempuan, memberikan pandangan masing-masing mengenai jumlah gaji pertama yang diharapkan.
Ramai dalam kalangan netizen juga terkejut dan terhibur dengan anggaran jumlah yang dinyatakan oleh para graduan tersebut kerana realitinya tidaklah sebegitu. Rata-rata graduan berpendapat industri di Malaysia perlu memberikan gaji pada kadar RM3,000- RM5,000 kepada graduan baharu yang ingin memulakan pekerjaan.
“Anggaran gaji selepas graduasi RM3,000 ke RM5,000,” kata salah seorang graduan dalam video berkenaan. Malah ada juga graduan diploma yang mengimpikan gaji permulaan kerja sebanyak RM4,000 sedangakan tidak mempunyai apa-apa pengalaman bekerja sebelum ini.
Perlu diambil kira komen-komen dalam kalangan netizen adalah, berdasarkan perkongsian pengalaman bekerja, mereka memberitahu hanya menerima gaji permulaan sebanyak RM1,700 sahaja!
PERTUMBUHAN GAJI DI MALAYSIA LAMBAT

Menurut Khazanah Research Institute (KRI), kajian pada 2024, sebanyak dua pertiga graduan baharu kekal terperangkap dalam gaji rendah iaitu dengan permulaan kurang RM2,000 walaupun memiliki pendidikan tinggi. Menerusi laporan bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents, KRI mendapati pertumbuhan gaji di Malaysia adalah lembab dan tidak banyak berubah sejak sedekad lalu.
“Kajian menunjukkan perkembangan kerjaya graduan Malaysia itu mendapati 65.5 peratus graduan pada 2021 mempunyai gaji permulaan kurang RM2,000,” menurut laporan itu.
Menurut satu lagi kajiannya di portal rasmi KRI, kebanyakan anak muda masih menerima gaji yang lebih rendah daripada paras ‘gaji reservation’. Ia adalah gaji minimum yang sanggup diterima golongan itu untuk mendapatkan kerja.
“Jika ditawarkan nilai yang lebih rendah daripada gaji reservation, mereka akan menolak pekerjaan tersebut.”
“Gaji reservation untuk pekerja muda nilainya ialah RM1,555 sebulan manakala untuk golongan yang mencari kerja, gajinya diletakkan pada paras RM1,715.”
*Jadi, kalau tak dapat permulaan gaji yang diimpikan, teruslah bekerja juga dan jangan bazirkan masa di rumah dengan menganggur. Kalau berusaha, doa dan tawakkal, insyaAllah gaji pada awalnya dirasakan tidak cukup akan dicukupkan oleh Yang Maha Esa…
@malaysianupdatenews Anggaran gaji fresh graduate 💆 Semoga berjaya ye dik #malaysianupdate #malaysianupdatenews #malaysianupdateofficial #fyp #viral #gaji ♬ original sound – Malaysian Update
Baca juga: 7 Pekerjaan Gaji Paling ‘Masyuk’ Dan ‘Laku Keras’ Di Malaysia, Kalau Layak Boleh Cuba…
Sumber: Sinar Harian, Tiktok @MalaysianUpdateNews
