Segalanya terbongkar apabila seorang remaja perempuan hadir ke Hospital Melaka dalam keadaan berlumuran darah, sekali gus membawa kepada pendedahan kes gugur kandungan yang disyaki dirancang bersama teman lelakinya.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, kes itu dikesan selepas seorang pegawai perubatan hospital berkenaan membuat laporan.
Baca juga: “Jangan Salahkan Dia…” Bapa Maafkan Pak Cik Van & ‘Lepaskan’ Nur Aini Umairah Dengan Tenang
GADIS GUGUR KANDUNGAN & KEKASIH SOROK JANIN DALAM KENDERAAN
Remaja perempuan berusia 17 tahun itu dilaporkan datang ke hospital dalam keadaan berlumuran darah sekitar jam 6.50 petang, 25 April lalu bagi mendapatkan rawatan.
Siasatan awal mendapati remaja terbabit dipercayai mengambil pil untuk menggugurkan kandungan sebelum mengalami pendarahan kerana uri tidak berjaya dikeluarkan sepenuhnya.
“Remaja perempuan itu telah menyatakan bahawa janin yang keluar tidak bernyawa dan telah ditanam oleh teman lelakinya berusia 18 tahun di lokasi yang tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga: Suspek Pukul Isteri Sungai Petani, Kini Disiasat Selepas Disyaki Tanam Janin Di Tanah Perkuburan
Janin disembunyikan dalam kereta sebelum ditanam
Susulan maklumat tersebut, polis menahan teman lelaki remaja itu pada jam 11.40 malam hari sama, manakala remaja perempuan itu ditahan keesokan hari selepas dibenarkan keluar dari hospital.
“Susulan kejadian itu, polis telah menahan teman lelakinya kira-kira 11.40 malam pada 25 April, manakala remaja perempuan itu ditahan pada 3.15 petang, semalam selepas keluar dari hospital,” katanya lagi.
Siasatan lanjut mendapati pasangan itu dipercayai merancang bersama untuk menggugurkan bayi dengan menggunakan pil gugur kandungan.
Menurut Dzulkhairi, lelaki terbabit kemudian mengambil janin tersebut dari rumah teman wanitanya sebelum merancang untuk menanamnya di belakang rumah.
Bagaimanapun, janin itu terlebih dahulu disembunyikan di dalam sebuah kereta jenis Honda City miliknya.

Gambar ihsan Polis Melaka.
Kes disiasat, kedua-dua suspek bakal didakwa
Polis memaklumkan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing juga didapati negatif.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan telah mendapat arahan untuk menuduh suspek lelaki di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, manakala suspek perempuan dituduh di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan di Mahkamah Ayer Keroh pada Jumaat ini,” katanya.
Sumber: BERNAMA
FT Image: Polis Melaka (Malaysia Gazette)

