FRIM Forest Park Selangor (FRIM FPS) kini secara rasmi tersenarai sebagai tapak warisan dunia UNESCO di Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam peta warisan global.
Pengiktirafan berprestij ini diumumkan dalam Sesi ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO yang berlangsung di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, hasil keputusan sebulat suara 21 negara ahli jawatankuasa tersebut.
FRIM FPS KINI TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO!

Kejayaan ini merupakan hasil daripada proses pencalonan yang panjang sejak tahun 2017.
Ia melibatkan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Jabatan Warisan Negara (JWN), Kerajaan Negeri Selangor, wakil Malaysia ke UNESCO, pakar warisan dan seluruh warga FRIM.
Delegasi Malaysia ke sesi bersejarah ini diketuai oleh Dato’ Shaharuddin Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC.

Dengan penambahan FRIM FPS sebagai tapak keenam, Malaysia kini mempunyai enam Tapak Warisan Dunia UNESCO:
- Taman Negara Gunung Mulu (2000)
- Taman Kinabalu (2000)
- Bandar Bersejarah Melaka dan George Town (2008)
- Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012)
- Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024)
- FRIM Forest Park Selangor (2025)
Pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan simbolik, malah bakal memberi impak besar kepada pemuliharaan hutan tropika dan ekopelancongan Selangor, serta menyokong usaha menjadikan FRIM sebagai salah satu destinasi pelancongan lestari utama negara.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Ismail Parlan, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan pencalonan ini selama lebih lapan tahun.
Beliau turut menegaskan komitmen FRIM untuk terus melindungi dan memulihara khazanah semula jadi demi generasi masa depan.
Sebagai lokasi kajian saintifik, pendidikan alam sekitar dan rekreasi hutan yang terkenal, pengiktirafan ini membuka lebih banyak peluang bagi FRIM FPS berkembang sebagai model pengurusan hutan bandar yang mampan di peringkat antarabangsa.
Baca juga: Lepas Bersara Baru Ada Masa Pergi Melancong? Ini 20 Tip Penting Dari Orang Lama Wajib Anda Tahu!
Sumber: FRIM / Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
FT Image: FRIM
