Pelakon popular tanah air, Fattah Amin, membuat kejutan manis apabila tampil di sebuah acara dengan membawa jambangan bunga mawar sebelum melamar penyanyi berbakat, Amira Othman, hari ini 8 September 2025.
Momen istimewa itu berlangsung penuh kejutan ketika Amira sedang membuat persembahan duet bersama adiknya, Irfan Haris, menerusi lagu terbaharu mereka berjudul Rasa & Takdir. Saat lagu berakhir, Fattah tiba-tiba muncul dari belakang pentas, sekaligus mencuri perhatian semua yang hadir.
Baca juga: Sekali Pandang Ingatkan Bujang, Top 8 ‘Hot Daddy’ Di Malaysia Yang Menjadi Pujaan Ramai
FATTAH AMIN UMUM NIKAH AMIRA OTHMAN 14 SEPTEMBER 2025

Foto di majlis tadi.
Lebih menyentuh hati, Irfan menyerahkan seikat kunci simbolik kepada Fattah sebagai tanda penyerahan tanggungjawab menjaga kakaknya. Adegan penuh emosi itu disaksikan sendiri oleh ibu bapa Amira, iaitu Othman Abdul Kadir, 62, dan Nora Arshad, 58, yang berada di barisan penonton.
“Daripada rakan sekerja, Fattah Amin nekad jadikan Amira Othman rakan serumah,” katanya.
Dalam majlis yang sarat dengan kejutan itu, pasangan berkenaan turut mengumumkan mereka bakal mendirikan rumah tangga pada 14 September depan, bersempena ulang tahun kelahiran Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, yang kini berusia 35 tahun.
Bagaimanapun, selepas majlis berakhir, Fattah dan Amira memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai majlis lamaran tersebut dan terus meninggalkan lokasi acara.
Sebelum ini, spekulasi mengenai status hubungan mereka mula tular di media sosial apabila seorang pengguna Threads dengan nama Kimchikims_ mendedahkan bahawa Fattah bakal menamatkan zaman dudanya dalam masa terdekat.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres terkenal, Fazura, pada 27 November 2017, namun rumah tangga itu berakhir dengan perceraian pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia lima tahun.
Baca juga: 7 Jenis Cincin Lelaki Paling POPULAR Untuk Majlis Akad Nikah, Patuh Syariah & Ada Gaya!
Sumber: Mstar Online
