Kalau sebut fasa berpantang, ramai yang membayangkan makanan hambar dan pilihan yang terhad. Namun perkongsian menu berpantang oleh penyanyi Amira Othman baru-baru ini benar-benar mengubah persepsi tersebut.
Menerusi hantaran di Instagram, Amira berkongsi 11 foto hidangan berpantang yang disediakan khas sepanjang tempoh pemulihannya selepas bersalin. Apa yang mencuri perhatian, setiap sajian nampak begitu menyelerakan, lengkap dan seimbang seperti hidangan di restoran.
Baca juga: Padat Dengan Info Peribadi, Ibu-Ibu Hamil Diingatkan Untuk TIDAK Tunjuk Buku Pink Sesuka Hati!
AMIRA OTHMAN KONGSI FOTO MENU BERPANTANG BUAT RAMAI KECUR AIR LIUR

Antara hidangan yang dikongsikan termasuk sup, salmon, ayam, pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan segar.
Kombinasi protein, serat dan vitamin itu membuatkan ramai pengikutnya memuji pilihan makanan yang bukan sahaja sedap dipandang, malah menepati keperluan ibu selepas bersalin.
Ramai ibu di ruangan komen mengakui terus menyimpan idea menu tersebut untuk dijadikan inspirasi apabila tiba giliran mereka berpantang nanti.
“Menu pantang Amira nampak sedap dan seimbang. Tengok pun rasa lapar!” komen warga maya.
Pelantun lagu Dalam Sujudku itu dilihat menikmati fasa berpantangnya dengan tenang sambil memberi tumpuan sepenuhnya kepada bayi sulungnya, Muhammad Jarir Umar.
Perkongsian tersebut turut memaparkan rutin harian Amira bersama si kecil, termasuk momen menyusu dan berehat di rumah.

Jarir ditahnik pada hari ketujuh
Dalam hantaran yang sama, Amira memaklumkan bahawa Jarir telah menjalani tahnik pada hari ketujuh kelahiran. Bayi itu ditahnik oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Ustaz Sheikh Abdul Karim Umar Al Makki.
Amira turut menitipkan doa agar anaknya membesar sebagai anak yang soleh dan menjadi insan yang baik serta disayangi Allah dan manusia.
“Jarir jadi orang baik okay? Jadi orang baik ALLAH sayang, orang lain pun sayang. Yang baik-baik untuk Muhammad Jarir Umar. Amin,” kongsinya.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian warganet ialah foto botol susu yang dipenuhi susu ibu.
Amira menyifatkannya sebagai rezeki buat anaknya dan bersyukur dengan kurniaan tersebut. Malah, dia sempat berseloroh melihat leher dan dagu Jarir yang semakin berlapis kerana kuat menyusu.
Namun, Amira turut berkongsi realiti sebenar seorang ibu baru yang berdepan kekurangan tidur, sakit pinggang dan sakit kepala sepanjang proses menyusukan bayi.
“Walaupun mami jadi zombie, tak tidur, sakit pinggang, sakit kepala. Tapi untuk anak mami, mami usaha yang termampu dan terdaya. Juga yang ALLAH izinkan.” titip Amira.

Baca juga: Lepas Czer, Nurse Selalu Tanya Ibu Dah Kentut Ke Belum? Rupanya Ini Sebab & Cara Mudah Buang Angin
Hargai suami yang bantu sepanjang pantang
Dalam pada itu, Amira tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada suaminya, pelakon Fattah Amin, yang banyak membantu memudahkan urusan sepanjang tempoh berpantang.
“Terima kasih suami saya. Selalu tolong memudahkan isteri awak berpantang. Semoga ALLAH balas jasa baik suami-suami kita semua yang sama-sama memudahkan urusan isteri,” tulisnya.

Sumber: Instagram Amira Othman
