Seorang bapa dari Putrajaya kini dalam keadaan terdesak apabila perlu menyediakan puluhan ribu ringgit dalam tempoh singkat demi menyelamatkan nyawa anak sulungnya yang sedang bertarung dengan kanser darah tahap empat.
Nur Emira Hafiza, 27, disahkan menghidap Leukemia Limfoblastik Akut Sel-B tahap empat selepas mengalami komplikasi kesihatan serius sejak September tahun lalu. Keadaannya kini semakin lemah sehingga terpaksa bergantung kepada kerusi roda selain perlu menjalani prosedur pemindahan darah dalam masa terdekat di Hospital Ampang.
Baca juga: Anwar Titip Ucapan Hari Lahir, Janji Balas Surat Adik Nanang Yang Simpan Impian Jadi PM
ANAK BERTARUNG KANSER DARAH, BAPA RAYU BANTUAN

Bapanya, Tarmizi Ahmad, 52, berkata keluarganya kini memerlukan sebanyak RM64,764 bagi membeli ubat-ubatan serta menampung kos rawatan yang dijadualkan berlangsung pada 15 Mei ini.
Tarmizi yang merupakan pengusaha tanaman cili fertigasi mengakui dirinya kini buntu memikirkan cara untuk mendapatkan wang sebanyak itu dalam keadaan simpanan keluarga semakin susut selepas pelbagai rawatan dilakukan sebelum ini.
“Saya buntu, nak cari duit dari mana pun saya dah tak tahu. Saya memerlukan RM64,764 untuk membeli tiga kotak ubat bagi rawatan ini. Sekotak ubat itu dianggarkan RM22,000. Ini tidak termasuk kos-kos lain bagi prosedur pemindahan darah daripada anak keempat saya (Anas Hakimi) kepada kakaknya (Nur Emira).
“Sebagai pekebun cili, buat masa ini saya benar-benar tidak mampu. Wang simpanan yang ada tidak mencukupi untuk kos ubat yang sangat mahal itu,” katanya dalam nada sebak.
Menurut Tarmizi, anak keempatnya, Anas Hakimi, 19, yang kini menuntut di Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka dikenal pasti sesuai untuk menjadi penderma bagi prosedur pemindahan darah tersebut.
Detik permulaan penyakit dikesan

Mengimbau kembali detik awal penyakit itu dikesan, dia berkata Nur Emira tiba-tiba mengalami sesak nafas ketika menghadiri ziarah kematian saudara di Pulau Pinang sebelum dikejarkan ke hospital.
“Keadaan menjadi cemas apabila pemeriksaan awal di Hospital Seberang Jaya dan ujian X-ray mendapati paru-paru sebelah kiri anak seolah-olah ‘hilang’ kerana telah ditutup sepenuhnya oleh serangan agresif sel kanser.
“Masa dipindahkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Ampang, doktor pakar pernah beritahu harapannya untuk hidup sangat tipis. Paru-parunya terpaksa ditebuk dan mengeluarkan darah hitam sebanyak dua hingga tiga baldi. Selepas prosedur itu, barulah dia dapat bernafas semula.
“Disebabkan serangan kanser ini juga, berat badan Emira susut mendadak daripada 50 kilogram (kg) menjadi sekitar 20 hingga 30 kg sahaja. Dia sangat lemah, tidak boleh berdiri lama dan sekarang hanya bergantung kepada kerusi roda,” jelasnya.
Sebelum ini, Nur Emira bekerja sebagai penyelia di sebuah gedung farmasi namun kini terpaksa bercuti tanpa gaji kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Malah, perlindungan insurans syarikat yang dimiliki juga sudah habis digunakan untuk rawatan kemoterapi terdahulu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun RHB Islamic 16212000223410 atas nama Nur Emira Hafiza atau akaun CIMB 7059260380 atas nama Tarmizi Ahmad.
Sumber: Harian Metro
