Baru-baru ini, Pusat Darah Negara (PDN) menerima permintaan komponen darah jenis granulosit daripada sebuah hospital kerajaan bagi membantu rawatan seorang pesakit kanak-kanak berusia 12 tahun yang menghidap kanser darah.
Menurut perkongsian yang dimuat naik di Facebook rasmi PDN, pesakit tersebut memerlukan sekitar lima hingga tujuh beg komponen granulosit setiap hari sebagai rawatan dan perlu diberikan bagi tempoh kira-kira lima hari.
BUDAK 12 TAHUN KANSER DARAH, PERLU 5-7 BEG DARAH SETIAP HARI

Granulosit merupakan salah satu jenis sel darah putih yang memainkan peranan penting dalam sistem pertahanan badan. Komponen ini digunakan sebagai rawatan untuk pesakit yang mempunyai jumlah sel darah putih yang terlalu rendah sehingga boleh mengancam nyawa.
Dalam proses penyediaannya, lapisan granulosit atau dikenali sebagai Buffy Coat dihasilkan daripada kutipan darah penderma darah utuh yang biasa menderma darah sebanyak 450 mililiter.
“Granulosit ini hanya boleh diperolehi daripada kutipan darah penderma darah utuh yang regular. Darah utuh dengan isipadu sebanyak 450ml.
“Komponen ini dihasilkan melalui kaedah Platelet-Rich Plasma (PRP) melalui proses emparan. Suhu pemprosesan dan penyimpan komponen adalah antara 20 hingga 24 ℃ bagi memastikan aktiviti sel dalam keadaan yang optimum,” jelas PDN.
Menurut PDN, jumlah darah yang diperlukan untuk menghasilkan komponen granulosit bagi seorang pesakit adalah sangat banyak.

Bayangkan, Seorang pesakit boleh memerlukan antara 25 hingga 35 penderma darah utuh untuk memastikan rawatan tersebut dapat diteruskan.
Sehubungan itu, pihak PDN menyeru orang ramai agar terus menderma darah secara konsisten kerana setiap sumbangan yang diberikan berpotensi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
Orang ramai yang ingin mengetahui lokasi terkini pusat kutipan darah boleh melayari laman rasmi PDN di bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Kerjasama masyarakat dalam menderma darah amat penting kerana bekalan darah diperlukan setiap hari, terutamanya bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan serius seperti kanser darah.
Baca juga: Pakar Dedah Daun Selasih Boleh HALANG Kanser Payudara & Hati, Ini Caranya Kalau Buat Sendiri
Sumber: Facebook Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia
