Menjadi asam garam dan budaya tempat kerja malah dalam kehidupan seharian, berdepan dengan orang toksik atau narsistik ini sangatlah mencabar. Mana tidaknya, kalau mental tidak kuat, berkemungkinan anda akan terus mundur dan turut sahaja apa yang mereka suruh lakukan sedangkan tidak perlu.
Jadi, bagi mengekalkan aura positif dalam diri setiap hari supaya lebih bersemangat dan berani, berikut merupakan dua doa yang boleh diamalkan selain dari bacaan Ayatul Qursi. Jangan biarkan golongan toksik ini menang!
Baca juga: ‘Kaki Bodek’ Dapat Naik Pangkat? Ini 7 Tanda Penganiayaan Tempat Kerja, Jom Semak!
BILA JUMPA ORANG TOKSIK & NARSISTIK, BACA DOA DI BAWAH

Mempunyai teman sekerja yang narsistik atau toksik merupakan cabaran untuk diri terus maju. Sebelum masuk ke pejabat, bacalah ayat di bawah ini. Semoga dijauhkan ALLAH dari sifat buruk mereka.
1. Baca ketika memasuk premis atau kawasan pejabat.
خَتَمَ اللّٰهُ عَلٰى قُلُوْبِهِمْ وَعَلٰى سَمْعِهِمْ ۗ وَعَلٰٓى اَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَّلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيْمٌ
ALLAH telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapat azab yang berat – (Al Baqarah: 7)
2.Semasa memasuki ruangan pejabat, baca Tasbih Yunus:
لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
“Bahawa tidak ada sembahan lain yang layak selain MU. Maha Suci DIKAU sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, adalah dibenarkan untuk seseorang itu menjauhi individu-individu yang menyakitinya sama ada secara lisan atau secara fizikal, bagi mengelakkan sebarang keburukan yang lebih teruk berlaku kepada kedua belah pihak.
Bahkan menjauhkan diri dari bermajlis bersama seseorang yang menyakiti kita sama ada dalam hal agama atau urusan keduniaan merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak.
Namun dalam masa yang sama, hendaklah teguran dengan cara yang terbaik diberikan kepadanya agar menghentikan perbuatan dan perkataan yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati orang lain. Selain itu juga, perbanyakkanlah doa semoga Allah S.W.T memelihara hubungan persahabatan serta mengurniakan kita sahabat-sahabat yang baik.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Maksudnya : Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.- Riwayat Al-Bukhari (6484)

Baca juga: Terlampau Rasa Diri Istimewa, Tak Kisah Lelaki Atau Perempuan Anda Ada ‘Princess Syndrome’!
