Kadang-kadang kebahagiaan seorang ayah itu tidak datang daripada perkara besar, tetapi cukup sekadar satu doa sebelum pergi kerja yang dilafazkan oleh suara kecil anak yang penuh makna.
Itulah momen yang tular menerusi perkongsian seorang ayah bernama Zul di TikTok apabila anak perempuannya, Amna yang baru berusia 2 tahun, mencuri perhatian ramai dengan bacaan doa sebelum dia melangkah keluar bekerja.
RUTIN ANAK BACAKAN DOA SEBELUM PERGI KERJA KEPADA ABI

Suara kecil, doa besar maknanya
Dalam rakaman tersebut di akaun @zulsidek93, Amna kelihatan berdiri di dalam rumah yang dipisahkan oleh pintu pagar besi berkunci, sambil menadah tangan kecilnya dengan penuh serius.
Dengan nada berlagu, Amna membaca doa untuk ayahnya yang sedang menunggu di luar rumah di atas motosikal.
“Ya Allah lindungi abi. Ya Allah sayangi abi. Ya Allah sayangi abi. Aamin!” ucap anak kecil itu dalam detik yang cukup ringkas, tetapi membuat ramai tersentuh.
Di luar, kelihatan Zul menunggu sambil mendengar dengan penuh rasa syukur sebelum membalas, “Aamin! Terima kasih abi pergi kerja dulu.”
Apa yang menjadikan video ini lebih menyentuh hati adalah interaksi spontan antara ayah dan anak yang begitu tulus.
Selepas selesai berdoa, Amna sempat mengingatkan ayahnya dengan suara comel, “Hati-hati abi,” sebelum masing-masing saling mengucapkan “Bye” antara satu sama lain.
Walaupun kelihatan biasa, momen ini menggambarkan betapa besarnya nilai kasih sayang dalam sebuah keluarga kecil.
Doa anak perempuan yang menguatkan seorang ayah
Dalam kapsyen yang dikongsi, Zul meluahkan rasa syukur apabila rutin harian anaknya itu menjadi penguat semangat untuk dirinya setiap kali keluar bekerja.
“Masya Allah Tabarakaallah, Alhamdulillah. Rutin harian anak perempuan setiap hari abi nak pergi kerja anak bacakan doa untuk abi.
“Berkat doa mak, ibu dan anak solehah inilah selalu urusan abi mudah dan selamat dari apa-apa kemalangan di tempat kerja atau pun semasa operasi. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah,” tulisnya.
Ungkapan itu jelas menunjukkan betapa seorang ayah menghargai doa kecil yang lahir daripada anaknya sendiri.

Warga maya turut sebak dan tersentuh
Ruangan komen turut dibanjiri dengan pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang rata-ratanya tersentuh melihat momen tersebut.
“Nasib baik adik baca doa pendek je. Kalau doa panjang, tak pergi kerja abi awak hehehe,” tulis seorang pengguna.
“Berdoa dengan melodi, lembut sangat. Salah satu doa yang mustajab untuk seorang lelaki adalah doa ibunya, isterinya dan anak perempuan,” kongsi seorang lagi.
Ada juga yang mengakui tidak mampu menahan sebak melihat hubungan ayah dan anak itu.
“Perginya seorang ayah dengan doa anak perempuannya. Allahu, terharu acik dengar,” antara komen yang mencuri perhatian.
Kisah Amna dan ayahnya ini menjadi peringatan bahawa didikan awal dalam keluarga mampu membentuk anak yang bukan sahaja comel di mata, tetapi lembut hatinya dalam mendoakan ibu bapa.
Dan mungkin, di sebalik setiap langkah seorang ayah keluar bekerja, ada doa kecil yang menjadi pelindung tanpa disedari.
@zulsidek93Masyaallah Tabarakaallah.. Alhamdulillah.. Rutin harian anak ppuan setiap hari abi nk pergi kerja Ank bacaan doa utk abiy❤️ ..berkat doa mak, ibu, dan anak solehah ini lah selalu urusan abiy mudah dan selamat dari Apa2 kemalanga Di tempat kerja atau pon semasa operasi.. Alhamdulillah, trm kasih yaallah🤲♬ bunyi asal – ZUL”🤝”
Sumber: TikTok @zulsidek93
FT Image: TikTok @zulsidek93
