Seorang wanita di laman Facebook berkongsi idea perangkap tikus yang digunakannya selepas berdepan masalah haiwan perosak itu memasuki rumah.
Masalah tikus masuk ke dalam rumah sememangnya boleh mengganggu keselesaan penghuni. Selain mencemarkan makanan, haiwan perosak ini juga boleh membawa pelbagai risiko kesihatan jika dibiarkan berleluasa.
Baca juga: Ibu-Ibu Kongsi Tips Basuh Baju Sekolah Anak, Kotoran Degil & Bau Hapak Hilang Sekelip Mata!
PERANGKAP TIKUS PALING MENJADI, TERUS TAK MASUK RUMAH

Menerusi satu perkongsian di media sosial, Mazura Abdullah memaklumkan rumahnya kini bebas daripada gangguan tikus selepas memasang jaring pada laluan yang dikenal pasti menjadi tempat haiwan itu keluar masuk.
Menurutnya, sebelum ini ramai pengguna media sosial tampil memberikan cadangan dan idea bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
“Alhamdulillah, lepas kami pasang jaring pada laluan tikus ini, dah tak ada tikus masuk ke dalam rumah lagi. Memang lega sangat,” katanya.
Menurutnya lagi, langkah paling penting ialah mengenal pasti terlebih dahulu laluan tikus memasuki rumah sebelum menutupnya dengan kemas.
“Rupanya yang penting kena cari dulu laluan dia masuk. Bila dah tutup elok-elok, insya-Allah masalah pun banyak berkurang,” tambahnya.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, laluan tersebut telah dipasang dengan jaring besi bagi menghalang tikus daripada memasuki rumah, namun masih membolehkan pengaliran udara melalui saluran berkenaan.

Dalam masa sama, wanita itu turut mengajak orang ramai berkongsi pengalaman masing-masing dalam menangani masalah tikus di rumah.
Ramai berharap perkongsian seperti ini dapat membantu mereka yang sedang berdepan masalah sama, memandangkan setiap rumah mungkin mempunyai punca dan laluan kemasukan tikus yang berbeza.
Antara langkah yang boleh dicuba untuk mengelakkan tikus masuk ke rumah:
– Kenal pasti dan tutup semua lubang atau rekahan yang menjadi laluan tikus.
– Pasang jaring besi pada saluran atau lubang pengudaraan yang berpotensi menjadi laluan masuk.
– Pastikan sisa makanan dibuang dengan baik dan tong sampah sentiasa bertutup.
– Simpan makanan di dalam bekas bertutup rapat.
– Bersihkan kawasan sekitar rumah supaya tidak menjadi tempat persembunyian tikus.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: Cara Bersihkan Papan Pemotong Kayu Yang Makin ‘Berdaki’, Sental Guna Bahan Ini!
Sumber: Facebook Mazura Abdullah
