Euforia Bola 2026
Inspirasi

Detik Cemas Di Udara Bila Bayi Sesak Nafas, Ibu Puji Kru AirAsia Bertindak PANTAS Selamatkan Nyawa!

penerbangan airasia

Kisah cemas dalam penerbangan AirAsia (AK115) dari Guangzhou ke Kuala Lumpur pada 4 Julai lalu menjadi detik yang tak mungkin dilupakan oleh Jacyntha Florentius dan keluarganya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Jacyntha meluahkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kru AirAsia yang bertugas kerana pantas bertindak ketika anak perempuannya, Natashya Sofea, baru berusia setahun tujuh bulan, mengalami sesak nafas secara tiba-tiba ketika berada 30,000 kaki di udara.

Baca juga: Top 7 Kerjaya Paling Dapat Permintaan Tinggi Di Malaysia, Bidang Anda Tersenarai Tak?

ANAK ALAMI SESAK NAFAS TIBA-TIBA, TINDAKAN PANTAS KREW PENERBANGAN AIRASIA DIPUJI

penerbangan airasia

Berdasarkan kisah, ketika pesawat berlepas pada jam 5:55 pagi, Tashya sedang lena tidur. Namun, setengah jam kemudian, dia terjaga dan mula menyusu seketika sebelum menunjukkan tanda-tanda luar biasa.

“Tiba-tiba dia seperti tidak keruan. Sekejap menangis, sekejap diam. Muka dan bibirnya berubah pucat, nafas pun semakin pendek, dan tubuhnya makin lemah,” kongsi Jacyntha.

Naluri seorang ibu membuatkan Jacyntha segera cuba menenangkan anaknya dengan menepuk belakang dan menggosok tangannya. Namun keadaan Tashya makin membimbangkan.

Krew kabin yang menyedari kecemasan itu segera memberikan oksigen kepada Tashya. Perlahan-lahan, warna bibirnya kembali kemerahan. Tanpa melengahkan masa, kru kabin membuat pengumuman mencari dalam kalangan penumpang jika ada yang bergelar seorang doktor. Mujur, seorang doktor wanita tampil membantu dan memeriksa keadaan Tashya dengan segera.

Dalam masa yang sama, juruterbang turut dimaklumkan, dan mereka segera menurunkan ketinggian pesawat untuk mengurangkan tekanan udara yang mungkin memburukkan keadaan Tashya.

“Mereka semua bergerak pantas, seolah-olah sudah terlatih menghadapi situasi sebegini. Saya sangat terharu,” tulis Jacyntha.

Pendaratan Kecemasan di Ho Chi Minh, Tiket Pulang Diberi Percuma

penerbangan airasia

Foto: AirAsia newsroom

Kira-kira 30 minit kemudian, pesawat mendarat kecemasan di Lapangan Terbang Ho Chi Minh. Pasukan perubatan segera naik ke pesawat untuk menilai keadaan Tashya, dan seterusnya membawa dia ke hospital bagi rawatan lanjut.

Keluarga kecil itu turut diiringi oleh seorang kakitangan AirAsia, Mr Alan Vuu, yang kekal bersama mereka sepanjang proses rawatan.

“Kami terus dibawa ke hospital dengan ambulans, dan sepanjang masa itu, Mr Alan tak tinggalkan kami. Malah, beg kami juga segera diturunkan oleh kakitangan AirAsia tanpa kami perlu minta,” kongsi ibu ini lagi.

Setibanya di hospital, Tashya menerima rawatan dengan segera dan dalam masa satu jam, semua prosedur penting seperti ECG, x-ray, echocardiogram dan pemeriksaan darah selesai dilakukan. Hasil diagnosis menunjukkan Tashya tidak mengalami masalah kesihatan serius, sebaliknya hanya mengalami tindak balas terhadap tekanan kabin dan kekurangan oksigen.

Selepas keadaan Tashya stabil, keluarga tersebut kembali ke lapangan terbang, di mana pihak AirAsia telah pun mengaturkan penerbangan seterusnya ke Kuala Lumpur, tanpa sebarang bayaran tambahan. Jacyntha, yang mengakui tidak selalu menaiki penerbangan AirAsia sebelum ini, jelas terharu dengan sikap profesional dan empati tinggi yang ditunjukkan.

“Hari ini, AirAsia membuktikan yang mereka bukan sekadar syarikat penerbangan murah. Mereka telah menyelamatkan anak saya,” coret Jacyntha.

Jacyntha turut menamakan kesemua individu ‘wira-wira langit’ yang terlibat dalam misi menyelamatkan Tashya, termasuk:

  • Captain Sangeran Surrendran
  • SFO Muhammad Syafiq Nor’en
  • SCC Mohd Ridzwan Ong
  • CC Stephanie Unyang Dungo
  • CC Nurul Nasuha Mohd Maznan
  • CC Amirul Ariffin Junaidi
  • Mr Alan Vuu (kakitangan di Ho Chi Minh)

“Berikan ganjaran kepada mereka. Mereka telah menunjukkan dedikasi dan kemanusiaan yang luar biasa…”

Kisah ini bukan sekadar tentang satu penerbangan. Ia tentang bagaimana tindakan pantas dan kepedulian boleh membuat beza antara trauma dan kelegaan. Dan hari itu, AirAsia berjaya mengubah satu detik mencemaskan menjadi momen penuh keinsafan dan terima kasih.

Baca juga: Jurutera Pesawat Kongsi Cabaran Jadi Tulang Belakang Dunia Penerbangan, ‘Green Light’ Baru Boleh Terbang!

Sumber: Jacyntha Florentius

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×