Dalam dunia penerbangan yang sering didominasi kaum lelaki, Malaysia Airlines berjaya mencipta sejarah dengan melaksanakan satu penerbangan Malaysia Airlines istimewa yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan wanita!
Dari kaunter daftar masuk sehinggalah ke kokpit, penerbangan MH2610 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu ini menjadi simbol keberanian, kepakaran dan kepimpinan wanita dalam industri yang penuh cabaran.
SEJARAH TERCIPTA, PENERBANGAN MALAYSIA AIRLINES PERTAMA PASUKAN ‘ALL WOMEN’!

Penerbangan istimewa itu mengetengahkan kepakaran wanita dalam setiap posisi penting iaitu daripada ejen daftar masuk, jurutera penyelenggaraan, pegawai keselamatan, kru kabin sehinggalah juruterbang.
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kecekapan mereka, malah menyerlahkan kekuatan, kepimpinan serta peranan besar wanita dalam industri penerbangan yang selama ini sinonim dengan dominasi lelaki.
Menurut Malaysia Aviation Group (MAG) di laman Facebook rasmi mereka, wanita kini merangkumi 36% tenaga kerja syarikat, mengatasi sasaran 25by2025 yang ditetapkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Pencapaian ini jelas menunjukkan bahawa wanita bukan sekadar ‘pelengkap’ tetapi turut menjadi tonggak utama kejayaan syarikat penerbangan negara. Ia menjadi simbol inspirasi bahawa kaum wanita mampu menembusi batasan, mencipta peluang serta memacu masa depan industri penerbangan.
“Semoga penerbangan hari ini menjadi inspirasi bukan sahaja kepada rakan sekerja, tetapi juga generasi penerbangan akan datang untuk terus bermimpi besar dan berani menongkah cabaran,” kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan.
“Tahniah Dan Terus Cemerlang!”

Kejayaan yang memberikan inspirasi ini turut mendapat pujian orang ramai yang merasa bangga dengan pencapaian tersebut. Kata mereka, kejayaan ini turut memberi semangat kepada wanita di luar sana untuk menceburi bidang berkaitan dunia penerbangan yang disangka hanya sesuai untuk kaum lelaki.
“Benar-benar bangga melihat wanita berjaya merentas batasan dan terbang setinggi-tingginya!”– warga maya.
“Buat semua wanita di Malaysia Aviation Group dan di luar sana: kekuatan, bakat dan ketabahan anda sedang menulis semula sejarah di langit. Anda adalah lambang ketahanan dan kecemerlangan, membuktikan bahawa dengan semangat dan kesungguhan, tiada impian yang terlalu tinggi untuk digapai. Teruslah bangkit, teruslah memimpin, dan terus buktikan bahawa wanita Malaysia adalah kuasa yang disegani dalam setiap penerbangan dan setiap bidang..”– warga maya.

*Tahniah!
Baca juga: Indahnya Berbuka Puasa Di Jeddah, Pilot Kongsi Pengalaman Berpuasa Selama 18 Jam!
Sumber: Malaysia Airlines, Harian Metro
