Euforia Bola 2026
Famili

Hanya Sebab Demam & Sakit Perut, Ibu TTC 7 Tahun Meninggal Bersama Bayi Beberapa Jam Selepas Bersalin…

demam ketika hamil

Satu kisah penuh pilu yang dikongsikan oleh seorang wanita mengenai pemergian kakaknya yang meninggal dunia beberapa jam selepas melahirkan bayi sulungnya dan dikatakan akibat demam ketika hamil.

Bayi tersebut terlebih dahulu menghembuskan nafas terakhir pada pagi hari kelahiran, sebelum ibunya pula dilaporkan nazak dan pergi meninggalkan keluarga tidak lama kemudian.

Baca juga: “Bila Keluar Rumah, Saya Bawa Separuh Maruah Ozlynn” – Johan Kongsi Prinsip Hidup Berumah Tangga, Baru Bahagia!

DEMAM KETIKA HAMIL, TAK SANGKA ANAK ‘PERGI’ SELAMANYA

DEMAM KETIKA HAMIL

Menurut perkongsian itu, kakaknya sedang hamil 36 minggu ketika kejadian berlaku, manakala dia sendiri ketika itu berada pada usia kandungan 38 minggu. Kedua-duanya hamil dalam tempoh yang hampir sama, dengan tarikh jangka bersalin yang berbeza hanya dua minggu.

Arwah dijadualkan melahirkan bayi secara pembedahan pada bulan Oktober dan pada hari kejadian sepatutnya menghadiri temu janji dengan doktor pakar serta menguruskan urusan pembelian rumah baharu.

Namun takdir Allah SWT mengatasi segala perancangan manusia. Beberapa hari sebelum kejadian, arwah dilaporkan mengalami demam dan sakit perut. Pada waktu malam, dia sempat ke klinik dan dinasihatkan supaya dirujuk ke hospital. Walau bagaimanapun, arwah memutuskan untuk menunggu temu janji di klinik kesihatan pada keesokan hari.

Keadaan menjadi semakin serius pada awal pagi sekitar jam 3 pagi apabila dia tidak lagi mampu menahan kesakitan, disertai pendarahan ringan. Arwah segera dibawa ke hospital. Pada jam 7 pagi, bayi dalam kandungannya dilaporkan meninggal dunia. Beberapa jam kemudian, arwah pula berada dalam keadaan kritikal sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir.

Pemergian dua beranak itu mengejutkan ramai, termasuk doktor pakar yang tertanya-tanya mengapa arwah tidak hadir ke temu janji klinik kesihatan seperti dijadualkan. Kes tersebut dikatakan menjadi perbualan hangat kerana arwah pada awalnya dirancang untuk bersalin secara pembedahan, namun akhirnya melahirkan secara normal dalam keadaan kecemasan.

DEMAM KETIKA HAMIL

Keluarga mengakui masih sukar menerima hakikat kehilangan tersebut, lebih-lebih lagi arwah dan adiknya sama-sama melalui fasa akhir kehamilan ketika itu. Sejak Oktober 2025 hingga kini, ibu bapa mereka tidak pernah terlepas menziarahi pusara arwah. Bukan kerana tidak reda, tetapi itu satu-satunya cara untuk merasai kedekatan dengan anak yang dirindui.

Apa yang lebih meruntun jiwa, arwah sempat mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sekerjanya dengan kata-kata,

“Bye, kita nak cuti lama ni,” luahnya.

Ketika itu, dia bersungguh-sungguh mahu menyiapkan tugasan agar tidak membebankan orang lain sepanjang cuti bersalin. Tanpa disangka, “cuti lama” itu menjadi perpisahan yang tidak akan kembali.

Beberapa hari sebelum pemergiannya, arwah sempat menjalani sesi fotografi kehamilan pada 12 Oktober 2025. Menurut adiknya, arwah jarang mengenakan pakaian berwarna putih, namun pada hari tersebut, dia memilih untuk memakainya. Tiga hari kemudian, pada 15 Oktober 2025, arwah pergi buat selama-lamanya.

Perkongsian ini turut disertakan pesanan buat semua wanita hamil agar tidak memandang ringan sebarang tanda luar biasa seperti demam, sakit perut atau pendarahan. Pemeriksaan segera di hospital amat penting bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.

Bagi keluarga arwah, kehilangan ini amat berat, namun mereka percaya Allah SWT lebih menyayangi kedua-dua bidadari tersebut. Bayi kecil itu sempat lahir ke dunia, namun dibesarkan di syurga bersama ibunya.

Baca juga: 5 Perbuatan Harian Ini Boleh Jadi Punca Sel Kanser ‘Hidup’ & Jadi Penyakit Kejam, Tabiat No.5 Paling Selalu Buat!

Sumber: Threads nrnissss_

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×