Tak sangka, rupa-rupanya hampir 2,000 rakyat Malaysia turun padang memberi pendapat tentang bagaimana kandungan digital negara patut diuruskan! Semua ini terkumpul dalam Laporan Perundingan Awam Kebangsaan 2025 yang dikeluarkan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum Malaysia).
Apa yang menarik, golongan belia menjadi penyumbang terbesar kerana merekalah yang paling banyak ‘hidup’ dalam dunia digital dari media sosial, hiburan hingga AI. Jadi, suara mereka memang penting untuk membentuk persekitaran digital yang lebih selamat dan beretika.
Baca juga: Nampak Comel, Tapi Bahaya! Ini 7 Risiko Game Roblox Buat Anak ‘Terperangkap’ Yang Ibu Ayah Tak Sedar
CONTENT FORUM MALAYSIA BUAT PERUNDINGAN 2 BULAN, 5 ISU UTAMA RAKYAT MALAYSIA PALING RISAU

Foto: Content Forum
Dijalankan dari 8 September hingga 7 November 2025, perundingan ini menerima 1,891 penyertaan daripada pelbagai latar masyarakat seperti orang awam, industri, pencipta kandungan, malah kumpulan advokasi.
CEO CMCF, Mediha Mahmood, berkata laporan ini ibarat stress test kepada Kod Kandungan. Menariknya, 908 penyertaan datang daripada orang muda sahaja! Jelaslah mereka sangat mengambil berat tentang apa yang berlaku dalam ruang digital mereka.
Daripada laporan tersebut, ada beberapa topik besar yang rakyat tekankan. Semuanya berkait rapat dengan cabaran dunia digital hari ini.
1. AI & Teknologi Baharu – “Tolonglah, bagi perlindungan jelas!”
Orang ramai mahukan:
- Label AI yang lebih jelas
- Tanggungjawab individu & platform
- Peraturan yang praktikal, bukan sekadar teori
Dengan AI semakin canggih, pengguna makin risau tentang penipuan digital, deepfake dan maklumat mengelirukan.
2. Perlindungan Kanak-Kanak – Isu Paling Mendesak
Ramai yang menuntut:
- Tindakan lebih tegas terhadap CSAM (Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak)
- Peraturan yang kurang kabur dan lebih jelas
- Akauntabiliti lebih tinggi terhadap semua yang terlibat dalam kandungan untuk kanak-kanak
Keselamatan kanak-kanak jelas menjadi fokus besar rakyat.
3. Standard Kandungan Kanak-Kanak – Bukan Sekadar ‘Selamat Ditonton’
Responden mahukan:
- Kandungan yang sesuai umur
- Bebas unsur ganas, toksik atau memudaratkan
- Kandungan yang mendidik, bukan sekadar menghibur
Mereka juga tegas tentang data kanak-kanak, jangan sesekali jadikan ia bahan pemasaran! Profiling mesti dimatikan secara default.
4. Representasi Lebih Adil Dalam Kandungan
Bukan hanya isu kaum atau jantina, tetapi termasuk:
- Status migrasi
- Komuniti Orang Asli
- Golongan kurang upaya (OKU)
Rakyat mahu kandungan yang lebih hormat, inklusif dan tepat.
5. Aduan Kandungan Lama Pun Patut Boleh Siasat
Pengguna setuju supaya CMCF boleh menyiasat:
- Kandungan lama yang ‘naik semula’
- Kandungan yang viral semula selepas bertahun-tahun
- Situasi yang masih beri kesan walaupun diterbitkan lama dulu
Sebab dalam dunia digital, apa yang kita anggap sudah dilupakan boleh muncul balik bila-bila masa.
“Rakyat Malaysia Semakin Peka” – Pengerusi CMCF

Foto: Media Prima
Menurut Pengerusi CMCF, Datuk Rafiq Razali, laporan ini membuktikan rakyat semakin peka dan peduli tentang integriti kandungan digital. Beliau menegaskan bahawa Kod Kandungan baharu nanti akan:
- Lebih futuristik
- Lebih terbuka
- Seimbang antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab
CMCF juga komited terus mengadakan sesi townhall dan program pendidikan media supaya rakyat lebih faham hak dan tanggungjawab mereka di internet.
Kod Kandungan (Content Code) diperkenalkan sejak 2004 sebagai panduan etika kepada:
- Pencipta kandungan
- Penyedia platform
- Penerbit
- Pengiklan
- Pengguna
Ia diselia oleh MCMC dan disemak dari semasa ke semasa supaya kekal relevan dengan dunia digital yang sentiasa berubah. Langkah seterusnya, semua maklum balas ini akan digunakan untuk memuktamadkan versi Kod Kandungan yang baharu. Versi ini dijangka:
- Lebih melindungi pengguna
- Lebih jelas
- Lebih kukuh dari segi peraturan
- Lebih sesuai dengan cabaran digital masa kini
Mediha turut menyatakan bahawa konsultasi ini bukan sekadar kumpul pendapat, tetapi sebenarnya membentuk hala tuju negara dalam pengurusan kandungan digital. Jika mahu membaca laporan penuh Perundingan Awam 2025, anda boleh rujuk melalui pautan rasmi di portal CMCF.
Baca juga: CEO Watsons Dr Malina Ngai Diiktiraf Antara ‘Wanita Paling Berkuasa Asia 2025’, Hebat!
