Perkongsian tentang seorang kanak-kanak tiga tahun yang tersangkut di celah tong gas menarik perhatian ramai, selepas keluarga terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba untuk mengeluarkannya.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang Ahad itu mencetuskan detik cemas apabila usaha keluarga sendiri tidak berhasil sebelum mereka mengambil keputusan membawa kanak-kanak itu terus ke balai bomba.
Baca juga: Tular Kartun Comel Ada Unsur ‘Double Meaning’, Siap Ajar Anak Rahsiakan Mak Buat Maksiat!
BUDAK 3 TAHUN TERSANGKUT DI CELAH TONG GAS!

Gambar: TikTok @dhiya.zainal
Insiden tular di media sosial selepas ahli keluarganya berkongsi pengalaman tersebut.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, keluarga berkenaan membawa anak itu bersama tong gas yang melekat ke Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang kerana bimbang keadaan semakin serius.
Menurut anggota yang bertugas, proses mengeluarkan kanak-kanak tersebut sebenarnya tidak sukar.
“Proses keluarkan kanak-kanak itu mudah. Rupa-rupanya keluarga tidak berjaya keluarkan kerana dia mengeraskan kaki tidak mahu keluar dari tong gas terbabit.
“Bila tiba di BBP Pasir Gudang, anggota bomba dapat mengeluarkannya selepas memujuk supaya dia lembutkan badan dan kaki,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Ibu budak berkenaan yang enggan dikenali ketika dihubungi pemberita, memberitahu mereka sudah berusaha mengeluarkan anaknya hampir 10 minit, namun gagal sebelum ke BBP berhampiran.
“Sebenarnya kejadian itu dalam kereta, tong gas sudah kosong dan saya mahu beli yang baharu. Dia duduk di tempat duduk belakang bersama kakaknya yang juga juga tidak perasan sehingga adiknya itu tiba-tiba dia mengadu sakit.
“Bila saya toleh ke belakang, dia sudah duduk di celah tong gas dan tak boleh keluar, saya tak berani terus keluarkan sebab dia tersangkut pada bahagian tulang pinggul.
“Saya risau kakinya patah lalu terus bawa dia ke balai bomba. Alhamdullillah, dengan kecekapan anggota bomba, dia berjaya dikeluarkan,” katanya.
Syukur, dengan tindakan pantas dan kepakaran anggota bomba, kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan serius.
Keluarga turut berterima kasih atas bantuan yang diberikan serta memuji cara anggota bomba menenangkan anak kecil itu sepanjang proses menyelamatkan.
@dhiya.zainal terima kasih Abg akak bomba Pasir gudang berusaha mengeluarkan Dak ncem hariz.sgt cekp Dan efisyen..aduhai ank bertuah ummi ayah..pemgalaman sugguh..panjang akalmu nak dibuatye baby seat tong gas Petron tu.. #bombapenyelamatpasirgudang #muhammadharizalhakim #anakbertuahummiayah ♬ original sound – Dhiya Zainal
Sumber: Berita Harian / TikTok @dhiya.zainal
FT Image: TikTok @dhiya.zainal
