Pemegang MyKad melebih tempoh 10 tahun dinasihatkan untuk menukar kad baharu bagi memudahkan urusan menebus bantuan RM100 dibawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Tapi jangan risau, kini anda tidak perlu lagi menunggu lama di kaunter untuk tukar MyKad rosak atau yang dah lebih 10 tahun itu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyediakan kemudahan permohonan gantian MyKad secara online, menjadikan proses lebih cepat, mudah dan menjimatkan masa!
Baca juga: Rupanya Fungsi Touch N Go Pada MyKad Anda Ada Tarikh Luput, Ini Cara Untuk ‘Renew’
CARA TUKAR MYKAD ROSAK ATAU DAH LEBIH 10 TAHUN, MUDAH NAK DAPAT BANTUAN

Foto hiasan.
Tak perlu panik jika MyKad anda rosak. Proses gantian kini boleh disiapkan dalam masa 30 minit sahaja di cawangan terpilih! Kemudahan ini juga seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan mesra rakyat.
Buat masa ini, hanya 4 jenis gantian MyKad dibenarkan melalui sistem online:
- Kerosakan fizikal kad
- Kerosakan cip kad
- Gantian biasa
- Hilang kali pertama akibat kecuaian
Nota penting: MyKad yang hilang tidak boleh diganti secara online (kecuali kes hilang kali pertama atas kecuaian).
Langkah-Langkah Permohonan Gantian MyKad Rosak Online
- Layari portal rasmi: https://gantianmykad.jpn.gov.my
- Klik pilihan “Mohon Gantian Bagi MyKad Anda”
- Isi borang dengan maklumat peribadi seperti nombor IC, alamat, dan punca kerosakan kad
- Muat naik gambar kad rosak (jika diperlukan)
- Pilih cawangan JPN berhampiran untuk ambil kad baharu
- Selesaikan bayaran menggunakan kad kredit
- Simpan resit dan nombor rujukan
- Buat semakan status permohonan dari semasa ke semasa
Dokumen Yang Diperlukan
1. Kad Pengenalan asal (rosak) : Bawa kad ini semasa ke kaunter untuk serahan atau pengambilan kad baru.
2. Dokumen Sokongan (jika perlu tukar alamat). Contohnya:
- Bil utiliti (elektrik, air, Indah Water)
- Cukai pintu / cukai taksiran
- Perjanjian sewa rumah / jual beli
- Surat pengesahan dari Penghulu, Ketua Kampung, Majikan, Ahli Parlimen dan sebagainya
Berapa bayaran yang dikenakan? Warganegara RM10.00 dan bukan warganegara RM40.00.
- Permohonan dalam tempoh 12 bulan selepas kad rosak: Percuma!
- Bayaran hanya diterima melalui kad kredit
- Tiada bayaran balik jika permohonan telah diproses
Setelah pembayaran berjaya dibuat, anda boleh semak bila MyKad baharu siap untuk diambil di cawangan JPN pilihan melalui laman sama.

Kesimpulannya, gantian MyKad rosak kini lebih mudah dengan sistem dalam talian yang pantas dan mesra pengguna. Tak perlu cuti semata-mata untuk beratur di kaunter! Simpan masa anda, ganti MyKad secara online hari ini.
Baca juga: Cara Guna SARA RM100 & Lokasi Pembelian: Tak Perlu Beratur, Tak Perlu Mohon…Terus Masuk Ke MyKad!
Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara
