Ketika ramai pelajar lain menduduki STPM 2024 dengan kesihatan sempurna, Tengku Norhanis Tengku Othman hanya bergantung pada sebelah mata untuk melihat dunia.
Namun, kekurangan itu tidak menjadi penghalang buat gadis ini untuk mencipta kejayaan luar biasa.
Baca juga: Pasukan Orkestra MRSM Ulul Albab FELDA Trolak Raih Anugerah Emas, Satu-Satunya Wakil Asia!
CALON BEKEPERLUAN KHAS PALING CEMERLANG STPM 2024 DI KELANTAN

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat itu memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam keputusan STPM 2024, sekali gus dinobatkan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) paling cemerlang di Kelantan.
“Saya hanya sasar 3.7, itu pun saya dah bersyukur, tetapi apabila capai 4.00 saya terus menangis. Allah beri lebih daripada yang saya minta,” kata Norhanis kepada pemberita BERNAMA ketika ditemui di sekolahnya.
Cabaran Retinoblastoma sejak kecil
Dilahirkan sebagai anak ketujuh daripada lapan beradik, Norhanis diuji dengan kanser mata retinoblastoma sejak usia dua tahun, menyebabkan mata kirinya terpaksa dibuang bagi menyelamatkan nyawanya.
Sejak itu, dia hanya bergantung sepenuhnya kepada mata kanan untuk belajar dan menjalani kehidupan seharian.
“Apabila sakit, saya berhenti, rehat dan sambung semula. Kalau saya putus asa di tengah-tengah jalan, siapa lagi yang hendak lawan untuk diri saya?” ujarnya penuh ketabahan.
Sebagai calon OKU STPM 2024, Norhanis diberikan masa tambahan 30 minit dalam setiap kertas peperiksaan. Namun menurutnya, kelebihan itu hanya membantu jika diiringi dengan semangat dan strategi belajar yang kuat.
Impian jadi pendidik al-Quran

Gambar ihsan Sek.Men.Keb. Agama Naim Lilbanat KB
Anak kepada pesara guru, Gayah Yazid, dan usahawan, Tengku Othman Tuan Yahya ini memasang impian menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Tahfiz dan Qiraati di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
“Dia anak luar biasa, kami tidak pernah menduga dia mampu raih keputusan sedemikian. Apabila mengingatkan semula kesungguhannya, memang patut dia dapat yang terbaik,” kata Gayah.
Cita-citanya ialah menjadi seorang pendidik yang mampu membimbing generasi muda mencintai al-Quran.
Pengetua SMKA Naim Lilbanat, Ab Raisham Ab Rashid menyifatkan Norhanis sebagai simbol kekuatan dan inspirasi kepada seluruh warga sekolah.
“Dia membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya dalam STPM 2024 dan kehidupan secara keseluruhan,” ujarnya.
Kisah Norhanis menjadi bukti bahawa semangat juang, ketekunan dan tawakal mampu mengatasi apa jua cabaran. Bahkan, ketika hanya bergantung pada sebelah mata untuk menatap dunia.
Sumber: BERNAMA
FT Image: Sek.Men.Keb. Agama Naim Lilbanat KB / BERNAMA
