Satu kes jenayah kejam membabitkan seorang budak diperkosa sebelum dicampakkan hidup-hidup ke dalam sebuah kolam di India. Mangsa merupakan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Kejadian yang berlaku di daerah South 24 Parganas, Baruipur, di negeri Bengal Barat itu mencetuskan kemarahan masyarakat susulan penemuan mayat mangsa dalam keadaan menyayat hati.
Baca juga: Tertinggal Teddy Bear Sampai Tak Boleh Tidur! Norman Hakim Kongsi Ragam Anak Masuk Universiti
BUDAK DIPERKOSA DAN DICAMPAK KE DALAM KOLAM

Foto: Magnific
Menurut laporan, mangsa dilaporkan hilang pada Sabtu selepas keluar dari rumah untuk membeli hadiah hari jadi buat seorang rakannya. Ahli keluarganya kemudian membuat laporan kehilangan kepada pihak polis selepas mangsa tidak pulang ke rumah.
Sehari kemudian, mayat kanak-kanak itu ditemukan di dalam sebuah kolam dalam keadaan disumbat ke dalam guni.
Laporan Bedah Siasat Dedah Mangsa Diperkosa

Foto: Gemini AI
Jurucakap pihak berkuasa memaklumkan laporan awal bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian sulit, selain terdapat kesan calar dan gigitan pada beberapa bahagian tubuhnya.
Siasatan turut mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala akibat dipukul menggunakan objek tumpul atau dihentakkan pada permukaan keras.
Lebih menyedihkan, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa dipercayai masih hidup ketika dicampakkan ke dalam kolam berdasarkan penemuan air di dalam paru-paru dan perutnya.
Pihak berkuasa memaklumkan punca kematian ialah akibat gabungan pendarahan serius di kepala dan lemas.
Susulan penemuan mayat mangsa, seorang lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu dibelasah oleh orang ramai sehingga maut.
Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti tahap penglibatan individu berkenaan dalam kes tersebut.
Tiga Suspek Sudah Ditahan
Setakat ini, polis mengesahkan tiga individu telah ditahan bagi membantu siasatan, termasuk suspek utama yang dipercayai terlibat dalam jenayah berkenaan.
Menurut pihak berkuasa, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), bukti forensik serta keterangan saksi.
Polis turut memberi jaminan bahawa semua individu yang terlibat akan dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan.
Kes tragis ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak serta jenayah seksual terhadap golongan bawah umur di India. Pihak berkuasa menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan dan memberi ruang kepada siasatan dijalankan.
Sumber: Sinar Harian
