Euforia Bola 2026
Nur

Jangan Keliru, Balu & Janda Tak Sama! Ini 3 Perbezaan Dari Segi Idah, Nafkah & Hak Pusaka

beza balu dan janda

Dalam masyarakat, istilah balu dan janda sering digunakan secara bergantian untuk merujuk kepada wanita yang tidak lagi bersama suaminya. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat beza balu dan janda, terutamanya berkaitan dengan status perkahwinan, tempoh idah dan hak-hak selepas berpisah.

Baca juga: Ditindih Masa Tidur Sebenarnya Gangguan Mistik Atau Mainan Otak? Buat Ramai Keliru!

BEZA BALU DAN JANDA ADA 3

beza balu dan janda

Gambar AI

Mantan Pegawai Hal Ehwal Islam Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Faisol Haji Omar, melalui satu hantaran video TikTok, telah memperjelaskan tiga perbezaan utama antara janda dan balu yang wajar diketahui oleh masyarakat umum, khususnya wanita.

1. Status tamatnya perkahwinan

Perbezaan pertama terletak pada sebab tamatnya hubungan perkahwinan:

  • Janda ialah wanita yang berpisah daripada suami melalui penceraian (sama ada secara talak, fasakh oleh Mahkamah Syariah, atau keputusan hakim)
  • Balu pula ialah wanita yang kehilangan suami akibat kematian

“Janda ialah hubungan perkahwinannya berakhir apabila diceraikan oleh suaminya atau difasakhkan oleh Mahkamah Syariah atau kadi atau Hakim Syarie.

“Manakala, balu pula perkahwinan yang berakhir dengan kematian suaminya,” ujar Dato’ Syeikh Faisol.

2. Tempoh dan kewajipan idah

Perkara kedua ialah berkenaan dengan tempoh idah, iaitu tempoh tunggu sebelum seorang wanita boleh berkahwin semula:

  • Bagi janda, jika pernah disetubuhi, dia wajib beridah. Jika belum disetubuhi, maka tidak wajib idah
  • Bagi balu, idah adalah wajib tanpa pengecualian, tidak kira sama ada telah disetubuhi atau belum, kerana ia melibatkan tempoh berkabung dan hikmah tertentu dalam syariat

“Apabila penceraian janda berakhir, dia wajib beridah sekiranya dia pernah disetubuhi suami. Jika sebaliknya, dia tidak wajib untuk beridah.

“Manakala, balu adalah wajib untuk beridah, sama ada dia pernah disetubuhi oleh suaminya atau sebaliknya,” ujar beliau.

Tambahan, janda dan balu yang belum disentuh oleh suaminya digelar sebagai ‘janda berhias’ oleh masyarakat Melayu di negara ini.

Baca juga: Sakit Kepala Komitmen Lebih Dari Gaji, Pemuda Ini Lega Lepas Amalkan Doa Ini & Duit Sentiasa Cukup!

3. Nafkah dan harta pusaka

Perbezaan ketiga menyentuh aspek nafkah dan hak harta:

  • Janda yang diceraikan dengan talak raji’ (talak 1 atau 2) masih berhak menerima nafkah idah
  • Namun, jika diceraikan dengan talak bain, suami tidak wajib memberi nafkah kecuali jika janda itu hamil
  • Balu, pula tidak menerima nafkah semasa idah kerana suaminya telah meninggal dunia. Namun, dia berhak menerima harta pusaka suami jika:
  1. Tiada anak, balu mendapat ¼ harta.
  2. Ada anak, balu hanya mendapat ⅛ harta.

“Janda yang diceraikan dengan talak raji iaitu talak 1 atau 2. Maka, suaminya wajib membayar nafkah idah kepadanya selama mana dia berada dalam tempoh tersebut.

“Namun, bagi janda diceraikan dengan talak bain iaitu talak yang tak boleh rujuk semula. Suaminya tidak wajib membayar nafkah kepadanya, kecuali ketika dia hamil dan perlu dibayar nafkah sehingga melahirkan anak.

“Wanita balu pula, gugurlah kewajipan membayar nafkah sepanjang tempoh dia beridah kerana alasan suaminya kematian. Walaupun balu ini tidak mendapat nafkah, layak mendapat harta peninggalan suaminya,” jelas beliau lagi.

Baca juga: Solat Jemaah Sah Ke Kalau Imam Terlupa Mandi Wajib? Jawapan Ini Mungkin Mengejutkan!

Penjelasan ini amat penting terutamanya buat wanita yang berhadapan dengan situasi kehilangan pasangan, sama ada melalui perceraian atau kematian. Memahami beza balu dan janda bukan sahaja membantu dalam aspek emosi dan sosial, malah berkaitan hak syarie yang wajib dipelihara.

Semoga perkongsian ini membuka ruang pemahaman yang lebih luas dalam kalangan masyarakat tentang perbezaan kedua-dua status ini secara adil dan berlandaskan hukum Islam.

Baca juga: Perlu Ke Niat Qada Kalau Terlewat Bangun Subuh? Ini Penjelasan Ustaz Azhar

Sumber: TikTok Dato’ Syeikh Faisol Haji Omar

FT Image: AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×