Suasana di sebuah hospital swasta di sini pagi tadi bertukar meriah apabila seorang bayi lelaki dilahirkan dengan berat badan hampir lima kilogram, sekali gus mencuri perhatian petugas perubatan yang bertugas.
Bayi berkenaan dilahirkan pada jam 9.16 pagi menerusi pembedahan Caesarean oleh ibunya, Nur Hafizah Othman, 35, dengan kehadiran suami tercinta, Nor Irfan Azizi Nordin, 36, yang setia menemani sepanjang prosedur tersebut.
BERAT BADAN BAYI LELAKI HAMPIR 5KG, SEMUA BERLARI NAK TENGOK

Menurut Nor Irfan, mereka sebenarnya sudah menjangkakan bayi ketiga itu bakal memiliki berat yang agak besar berdasarkan pengalaman kelahiran dua anak sebelum ini. Namun, angka sebenar yang direkodkan tetap membuatkan mereka terkejut.
“Anak sulung kami dilahirkan dengan berat 4.5 kilogram, manakala anak kedua 4.2 kilogram. Jadi kami anggarkan yang ketiga mungkin dalam lingkungan sama. Tetapi apabila dimaklumkan beratnya 4.91 kilogram, memang kami terkejut,” katanya.
Tambahnya lagi, suasana di bilik pembedahan ketika itu menjadi sedikit kecoh apabila beberapa petugas perubatan datang untuk melihat sendiri bayi berkenaan yang disifatkan mempunyai saiz luar biasa bagi kelahiran biasa.
Walaupun masih teruja dengan berita tersebut, Nor Irfan meluahkan rasa syukur kerana isteri dan bayi mereka berada dalam keadaan sihat.

Freepik (Sekadar gambar hiasan)
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Isteri dan bayi dalam keadaan baik. Itu yang paling penting,” ujarnya.
Pasangan tersebut juga memaklumkan bahawa mereka masih dalam perbincangan untuk memilih nama penuh bayi berkenaan, namun bercadang mengekalkan nama ‘Noah’ sebagai nama hadapan, selari dengan dua abangnya.
Dalam pada itu, Nor Irfan turut merakamkan penghargaan kepada barisan petugas hospital yang membantu sepanjang proses kelahiran tersebut.
Untuk rekod, sebelum ini pernah dilaporkan beberapa kes kelahiran bayi dengan berat luar biasa di negara ini, termasuk bayi lelaki seberat 5.6 kilogram pada tahun 2006 serta bayi perempuan seberat 4.8 kilogram pada tahun lalu.
Baca juga: Harga Terkini Kos Bersalin Di Hospital Kerajaan Dari Kelas 1 Hingga Kelas 3, ‘Save’ Untuk Rujukan!
Sumber: Kosmo
