Sabah kini menghadapi situasi genting apabila sejumlah besar menara telekomunikasi rosak akibat gangguan bekalan elektrik, menyebabkan sebahagian besar kawasan kehilangan sambungan komunikasi.
Dalam detik-detik mencemaskan ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak pantas dengan menggerakkan sistem PRIME (Sistem Komunikasi Radio & Internet Bergerak) serta mengaktifkan 131 pusat NADI agar masyarakat Sabah kekal berhubung dengan dunia luar.

Bagi penduduk yang terkesan, capaian internet bukan sekadar untuk melayari media sosial tetapi menjadi nadi utama untuk menghubungi keluarga, mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa dan menyalurkan bantuan dengan lebih cepat.
Tanpa talian komunikasi, masyarakat akan berdepan kesukaran besar untuk membuat keputusan keselamatan.
Apa yang MCMC lakukan?
- PRIME — kenderaan mudah alih lengkap dengan teknologi komunikasi moden telah dihantar ke Kampung Cendrakasih dan Penampang untuk membantu pasukan penyelamat dan menyokong proses pemulihan infrastruktur.
- 131 pusat NADI turut diaktifkan supaya orang awam yang terkesan masih boleh akses internet.
- Dari 266 menara rosak, 147 telah dibaiki & kembali beroperasi, manakala kerja membaik pulih tapak komunikasi kritikal terus dijalankan.
- MCMC juga membentuk Task Force khas bersama syarikat telekomunikasi & SESB untuk menyelaraskan usaha pemulihan, termasuk pemasangan genset sementara di tapak kritikal.
Apa itu PRIME & NADI?
PRIME: Sistem komunikasi bergerak semasa kecemasan yang menggunakan gabungan satelit, rangkaian selular, radio dua hala, Wi-Fi hotspot dan drone. Ia membolehkan operasi menyelamat lebih cekap dan teratur.
NADI: Pusat komuniti yang menyediakan akses internet supaya rakyat dapat berkomunikasi, menerima maklumat sahih serta meneruskan aktiviti digital walaupun dalam keadaan bencana.
Demi keselamatan & kesejahteraan rakyat
Inisiatif MCMC ini bukan sahaja memastikan rakyat Sabah kekal berhubung dengan orang tersayang, tetapi juga menjadi sokongan besar kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus di lapangan.
Untuk maklumat lanjut tentang PRIME dan usaha MCMC, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.mcmc.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan MCMC di 1800-188-030.

