Euforia Bola 2026
Asuh

Jangan Ambil Mudah! Bayi Alami ‘Selesema Maut’ Selepas Diberi Ubat, PHM Minta Ibu Bapa Rujuk Doktor Dahulu

bayi selesema

Apabila bayi selesema, ramai ibu bapa mula panik melihat si kecil berhingus, sukar tidur atau menyusu seperti biasa. Dalam keadaan risau, ada yang terus membeli ubat selesema di farmasi tanpa mendapatkan pemeriksaan doktor terlebih dahulu.

Public Health Malaysia (PHM) berkongsi satu kisah tular mengenai bayi berusia 4 bulan yang mengalami selesema dan diberikan ubat Piriton oleh ibu bapanya tanpa penilaian doktor.

Baca juga: Tak Paksa Ngadap Buku, Ibu Ini Kongsi 7 Didik Anak Cepat Baca Dua Bahasa Sebelum Usia 5 Tahun!

BAYI SELESEMA MAUT SELEPAS DIBERI UBAT

bayi selesema

Menurut perkongsian itu, bayi berkenaan kemudian dilaporkan berhenti bernafas dan meninggal dunia.

Namun PHM menegaskan bahawa pihak mereka tidak dapat mengesahkan sama ada ubat tersebut menjadi punca sebenar kerana terdapat pelbagai keadaan lain yang juga boleh menyebabkan bayi berhenti bernafas.

Walaupun begitu, kisah itu menjadi satu peringatan penting buat semua ibu bapa.

Bayi bukan orang dewasa dalam badan yang kecil

PHM mengingatkan bahawa ubat yang selamat untuk orang dewasa belum tentu selamat untuk bayi.

Piriton mengandungi chlorpheniramine iaitu sejenis antihistamin generasi pertama yang boleh memasuki otak dan memberi kesan kepada sistem saraf pusat.

Pada bayi, pusat kawalan pernafasan di otak masih belum matang. Jika ubat ini menyebabkan sedasi yang kuat, beberapa keadaan boleh berlaku:

  • Bayi menjadi terlalu mengantuk dan sukar dikejutkan
  • Pernafasan menjadi semakin perlahan (respiratory depression)
  • Refleks batuk dan menelan menjadi lemah, meningkatkan risiko tersedak
  • Dalam keadaan jarang tetapi serius, bayi boleh mengalami apnea (episod berhenti bernafas)

Risiko ini lebih tinggi jika dos tidak sesuai, bayi masih terlalu kecil atau mempunyai masalah kesihatan lain.

Hakikat tentang selesema pada bayi

PHM turut menjelaskan bahawa kebanyakan selesema disebabkan oleh virus.

Ubat selesema tidak membunuh virus dan tidak mempercepatkan proses penyembuhan. Ia hanya membantu mengurangkan simptom, sedangkan pada bayi kecil, risiko kesan sampingan boleh melebihi manfaatnya.

Sebab itu, banyak garis panduan pediatrik tidak mengesyorkan penggunaan ubat batuk dan selesema secara rutin bagi kanak-kanak di bawah usia 2 tahun tanpa penilaian doktor.

Baca juga: Panduan Potong 7+ Buah-Buahan ‘Favourite’ Anak Kecil, Elak Tercekik!

bayi selesema

Gambar hiasan: Gemini AI

Apa yang ibu bapa boleh lakukan di rumah?

Jika bayi selesema tetapi masih aktif dan menyusu, PHM menyarankan beberapa langkah yang lebih selamat:

  • Teruskan penyusuan dengan lebih kerap
  • Gunakan titisan saline untuk mencairkan hingus
  • Sedut hingus menggunakan nasal aspirator jika perlu
  • Pastikan bayi mendapat rehat yang mencukupi

Langkah-langkah ini dapat membantu melegakan ketidakselesaan bayi tanpa risiko kesan sampingan ubat yang tidak diperlukan.

Tanda bahaya: segera bawa bayi ke hospital

Ibu bapa perlu mendapatkan rawatan segera jika bayi menunjukkan mana-mana tanda berikut:

  • Bernafas laju atau sukar bernafas
  • Bibir atau muka kelihatan kebiruan
  • Tidak mahu menyusu
  • Terlalu mengantuk atau sukar dikejutkan
  • Demam pada bayi berumur bawah 3 bulan

Jangan bergantung pada nasihat media sosial semata-mata

PHM mengingatkan bahawa setiap ubat mempunyai manfaat dan risiko tersendiri. Bagi bayi, ibu bapa tidak sepatutnya bergantung kepada nasihat media sosial atau pengalaman orang lain sebelum memberikan sebarang ubat.

Sebaliknya, dapatkan penilaian daripada doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu supaya rawatan yang diberikan benar-benar sesuai dengan umur dan keadaan kesihatan bayi.

Kadang-kadang, apa yang nampak seperti “ubat biasa untuk selesema” sebenarnya boleh memberi kesan yang serius kepada bayi kecil. Sebab itu, lebih baik bertanya dan mendapatkan kepastian daripada pakar sebelum bertindak.

Sumber: Public Health Malaysia

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×