Satu insiden menyayat hati apabila seorang bayi maut di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Hospital Seberang Jaya baru-baru ini mengundang perhatian ramai. Bayi lelaki berusia empat bulan itu dilaporkan meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh di premis berkenaan.
Kes tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa selepas dua petugas taska terbabit didapati belum mengikuti Kursus Asuhan Permata (KAP).
BAYI MAUT DI TASKA, PETUGAS TIDAK IKUTI KURSUS ASUHAN PERMATA

Foto: Harian Metro
Menurut laporan, kedua-dua petugas wanita berusia lingkungan 20-an itu telah direman bagi membantu siasatan. Difahamkan, mereka juga masih baharu dalam bidang penjagaan kanak-kanak apabila tempoh perkhidmatan masing-masing kurang daripada setahun.
EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim, memaklumkan bahawa taska berkenaan sebenarnya beroperasi secara sah dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Hasil semakan mendapati pusat asuhan tersebut mematuhi syarat pendaftaran termasuk nisbah bilangan pengasuh dengan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan. Taska itu juga berdaftar dalam sistem National Integrated System of Childcare (NISPA).
Selain itu, pusat jagaan berkenaan menempatkan seramai 44 kanak-kanak termasuk mangsa, walaupun kapasiti maksimum yang dibenarkan adalah sehingga 56 kanak-kanak. Kesemua kanak-kanak yang ditempatkan di situ juga difahamkan merupakan anak kepada kakitangan Hospital Seberang Jaya dan berusia empat tahun ke bawah.
Siasatan awal turut mendapati seorang daripada pengasuh wanita tersebut baru mula bertugas pada September 2025, manakala seorang lagi telah bekerja sejak Mei tahun lalu. Sebelum kejadian ini, tiada laporan berkaitan pengabaian atau kesalahan melibatkan pusat jagaan tersebut.
Dalam pada itu, Lim Siew Khim menasihatkan semua pengusaha pusat jagaan supaya lebih teliti dalam proses pengambilan pekerja. Beliau turut menekankan kepentingan menjalankan semakan latar belakang serta memastikan petugas menerima latihan sewajarnya sebelum diberi tanggungjawab menjaga kanak-kanak, warga emas atau orang kurang upaya.
Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengeluarkan Perintah Penutupan Sementara terhadap Taska Pintar Hospital Seberang Jaya yang berkuat kuasa serta-merta susulan kejadian tersebut.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, dilaporkan baru kira-kira sebulan dihantar ke taska berkenaan. Bayi tersebut dipercayai meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh di premis itu.
Difahamkan, bayi malang itu dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 4 pagi selepas dihantar ke pusat jagaan tersebut pada malam sebelumnya.
Kes ini sekali lagi membuka perbincangan dalam kalangan masyarakat mengenai aspek keselamatan, kelayakan pengasuh serta pemantauan terhadap pusat jagaan kanak-kanak bagi memastikan kesejahteraan anak-anak sentiasa terpelihara.
Baca juga: Bayi Usia 8 Bulan Meninggal Dunia Selepas Kemalangan, Keluarga Reda Ujian 18 Ramadan…
Sumber: Harian Metro
Ft Images: Berita Harian
