Pagi Sabtu yang hening di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, Kedah bertukar pilu apabila satu kejadian melibatkan bayi dibuang sangat menyayat hati dan mengejutkan penduduk setempat.
Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui terbiar di bahu jalan, tanpa seurat benang di badan dibiarkan kesejukan, kotor, dan tidak bermaya.
Baca juga: Wanita Terkejut Jumpa Beg Berisi Bayi Perempuan Bertali Pusat, Muka Dah Bengkak Digigit Nyamuk…
TANGISAN HALUS BAYI DIBUANG JADI ‘PENYELAMAT’ NYAWA

Foto: Bayi lelaki ditinggalkan tepi jalan tanpa pakaian dan tidak berlapik.
Menurut laporan Sinar Harian, seorang penduduk yang sedang menjemur pakaian terdengar tangisan halus yang kuat dari arah belakang rumahnya. Hatinya mula berdebar, dan dia segera mencari punca suara itu. Apa yang ditemui membuatkan dia tergamam kerana melihat seorang bayi kecil di atas tanah, tubuhnya pucat, matanya separa terbuka, menahan sejuk dan ketakutan.
Tersentak dengan apa yang dilihat, dia terus menjerit meminta bantuan dan mengundang jiran-jiran lain keluar bersama-sama menyelamatkan bayi tersebut. Mereka segera membawa bayi itu ke tempat selamat sebelum dihantar ke hospital berdekatan.
Bayi Kini Stabil, Tapi Ada Luka Kecil
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, mengesahkan menerima laporan kecemasan pada jam 9.55 pagi daripada orang awam.
Bayi lelaki itu kini dirawat di Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan berada dalam keadaan stabil. Hasil pemeriksaan mendapati ada beberapa kesan calar kecil pada bahagian mata kanan serta sisi badannya dipercayai akibat diletakkan terus di atas permukaan tanah tanpa sebarang alas.
Siasatan pihak polis membawa kepada penemuan ibu kandung bayi tersebut, yang kini turut dirawat di hospital. Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Jadi, diingatkan bahawa jika anda atau seseorang yang anda kenali sedang melalui kehamilan luar jangkaan, anda tidak keseorangan. Bantuan ada di mana-mana dan jangan ambil jalan singkat.
Bantuan Sedia Untuk Anda:
- Talian Kasih 15999 (24 jam)
- Hospital/Klinik Kerajaan terdekat
- NGO seperti OrphanCARE, Rumah Kita, Protect and Save the Children

Foto Sinar Harian: Kawasan bayi ditinggalkan, mujur tiada haiwan liar.
Hari ini, seorang bayi diselamatkan kerana masih ada insan yang peduli. Esok, mungkin giliran anda menyelamatkan satu lagi nyawa. Kongsikan kisah ini dan semoga jadi peringatan kepada semua.
Baca juga: Janin Cukup Sifat DIBUANG Di Tandas Stesen Minyak, Video Tular Dedah Si Ibu Sempat Beli Tuala Wanita
Sumber: Sinar Harian
