Menunaikan ibadah haji merupakan impian setiap Muslim, tetapi bagaimana jika seseorang masih mempunyai hutang? Adakah lebih baik individu tersebut bayar hutang terlebih dahulu atau mengutamakan ibadah haji?
Mungkin akan mencetuskan perbalahan antara dua pihak, namun bagi menyelesaikan masalah ini berikut merupakan penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus.
Baca juga: Checklist 32 Barang Yang Boleh Dibawa Ketika Tunaikan Haji, Tak Pening Nak Kemas Beg!
BAYAR HUTANG ATAU TUNAIKAN HAJI, YANG MANA KENA LUNASKAN DULU?

Foto hiasan.
Dalam Islam, kedua-dua perkara ini mempunyai kepentingannya tersendiri. Haji adalah rukun Islam kelima yang wajib bagi mereka yang mampu, manakala membayar hutang adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Keputusan ini memerlukan pertimbangan yang teliti, termasuk melihat keutamaan dalam kewangan, tanggungjawab sosial, serta garis panduan syariah.
Jadi persoalannya, jika seorang yang ada berhutang dengan orang lain, adakah patut dia bayar hutang dahulu atau mengerjakan haji kerana wang simpanan untuk hajinya telah cukup?
Menurut Ustaz Azhar Idrus, orang yang ada berhutang dengan seseorang dan belum dapat membayarnya maka dia dikira sebagai belum ada kemampuan mengerjakan haji. Jika dia tunaikan juga haji dengan niat untuk membayar hutangnya selepas pulang dari haji maka hajinya itu sah.
Akan tetapi yang afdhal ialah dia membayar hutangnya terlebih dulu kemudian baru mengerjakan haji. Berkata Imam Nawawi:
“Dan disyaratkan pada bekal yang cukup bagi seorang itu untuk pergi ke Mekah dan pulang darinya ialah mempunyai harta yang lebih termasuk membayar hutang dengan segera atau bayaran dengan ditangguhkan,” (Kitab Al-Iidhah fi Manasik Al-Haj)
“Sungguhnya hutang itu adalah hak murni manusia yang ada padanya satu tanggung jawab yang berat yang hendaklah bercermat padanya kerana membayar hutang adalah tersangat penting maka didahulukan bayar hutang atas kerja haji jika keadaan tersepit,” (Hasyiah Ibni Hajar ‘ala Iidhah)
SELESAI HUTANG, HATI TENANG

Foto hiasan ChatGPT
Tidak dinafikan haji adalah ibadah yang besar di dalam Islam akan tetapi kerjakanlah dalam keadaan yang afdal dan terbaik. Selesaikan hutang yang dijanjikan terlebih dahulu kerana apabila janji sudah ditunaikan hati akan lebih tenang melakukan ibadah.
Kesimpulannya, hutang wajib dibayar apabila sampai masa yang dijanjikan membayarnya iaitu masa yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Jika belum sampai masa bayar hutang yang dijanjikan maka sunat hukumnya membayar hutang.
Jika sampai masa bayar hutang dan orang yang berhutang tidak lagi membayar hutang dan mahu pergi kerjakan fardu haji nescaya wajib atasnya meminta tangguh dengan tuan hutang. Jika dia tidak minta tangguh dan pergi mengerjakan haji nescaya haramlah perbuatannya itu kerana telah sampai masa yang dijanjikan membayar hutang pada hal dia tidak membayarnya tanpa uzur dan tetapi hajinya sah.
Baca juga: Kadar Bayaran Fidyah TERKINI Setiap Negeri, Wajib Langsai ‘Hutang’ Dengan Allah SWT!
Sumber: Ustaz Azhar Idrus
