Seorang bapa pukul anak berusia 11 tahun hanya kerana tidak mengemas dapur akhirnya menerima padah apabila dihukum denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Tertuduh berusia 42 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan memukul anak perempuannya menggunakan penyangkut baju hingga menyebabkan kecederaan di bibir dan badan.
Baca juga: Sampai Bila Mak Ayah Nak Tanggung? Ini Waktu Bila Patut Berhenti ‘Support’ Anak Dah Kerja
BAPA PUKUL ANAK DENGAN ‘HANGER’ DIDENDA RM8,000

Gambar hiasan.
Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Izralizam Sanusi selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.
Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh yang bekerja sebagai tukang paip akan dipenjara selama lapan bulan.
Mahkamah turut memerintahkannya menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000 serta seorang penjamin, selain melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan.
Mengikut pertuduhan, kejadian berlaku di sebuah unit pangsapuri di Taman Metropolitan pada jam 2 petang, 3 Oktober lalu. Ketika itu, tertuduh didakwa memukul anak tunggalnya yang berusia 11 tahun 10 bulan hingga menyebabkan kecederaan di badan.
Perbuatan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam yang perlu diutamakan.
“Kejadian berkenaan menyebabkan mangsa mengalami trauma sehingga melarikan diri. Selaku seorang bapa, dia sepatutnya melindungi anak terutama pada usia semuda itu, bukannya melakukan penganiayaan hingga mencederakan,” katanya.
Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan menyesal atas perbuatannya.
Sebelum ini, seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes sama. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, memaklumkan siasatan mendapati suspek bertindak memukul anak perempuannya kerana marah mangsa tidak mengemas dan mencuci pinggan.
Difahamkan, mangsa melarikan diri dari rumah pada Sabtu lalu sebelum ditemui orang awam di sebuah kedai di Metro Prima, Kepong.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan didapati mengalami lebam di bawah bibir, calar di belakang badan serta sakit di kepala.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Google
