Pendakwah terkenal dan personaliti televisyen, PU Azhar Hilmi meluahkan rasa kecewa apabila bapanya dihalau keluar dari sebuah surau di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang baru-baru ini.
Insiden itu menjadi tular selepas dirakam dalam sebuah video berdurasi 38 saat yang mencetuskan perdebatan ramai.
Baca juga: Lelaki Cuci 30 Surau Sempena 30 Hari Ramadan Terima Pujian Netizen, Ini Barulah ‘Hero’!
“ABAH BERIFTIKAF LEPAS SOLAT, BUKAN BUAT BENDA SALAH”- PU AZHAR HILMI

Foto tangkap layar video tular.
Menerusi hantaran di media sosial, PU Azhar mendedahkan bahawa lelaki warga emas yang kelihatan dalam video tersebut sebenarnya adalah bapanya sendiri.
“Video yang tular itu menunjukkan seorang pak cik sedang beriktikaf dalam surau,itulah abah saya. Setiap pagi, abah akan ke surau untuk solat Subuh. Selesai solat, dia akan duduk sebentar, baca al-Quran dan tunggu masuk waktu Dhuha.
Tapi pagi itu, seorang wanita dipercayai dari pihak pengurusan datang dan terus menghalau abah keluar. Lebih menyedihkan, dia merakam video tersebut seolah-olah abah saya melakukan sesuatu yang salah,” tulisnya.
PU Azhar turut mempersoalkan tindakan wanita tersebut yang dianggap tidak beradab serta tidak menghormati orang tua.
“Di mana adab dan rasa ihsan kita? Surau sepatutnya menjadi tempat untuk mencari ketenangan dan beribadat, bukan tempat yang eksklusif untuk sesetengah golongan sahaja. Saya bukan mahu viralkan sesiapa, tapi mahu bangkitkan persoalan – sejak bila surau jadi tempat terlarang untuk orang tua?” tambahnya.
Dalam rakaman video tersebut, wanita berkenaan mendakwa bahawa lelaki terbabit tidak dibenarkan berada di surau tersebut kerana bukan penduduk setempat dan tidak membayar kos utiliti. Malah, dia turut menyebut mengenai insiden kecurian yang pernah berlaku di kawasan itu.
Pihak Surau Nafi Arahan Dikeluarkan AJK

Foto: FB Musolla Halaman 11
Sementara itu, pihak pentadbiran dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu tampil mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa tindakan menghalau lelaki berkenaan datang daripada mereka.
“Tindakan menghalau itu tidak mendapat persetujuan AJK. Kami amat mengharapkan kehadiran sesiapa sahaja untuk mengimarahkan Musolla ini. Kami kesal dan membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut,” tegas kenyataan itu.
Pihak AJK turut memaklumkan bahawa mereka telah mengadakan pertemuan dengan badan pengurusan bersama (JMB) untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Surau ini terbuka kepada sesiapa sahaja untuk beribadah atau berehat sebentar. Kami tidak akan mengunci Musolla. Malah, bil air dan elektrik ditanggung sepenuhnya hasil sumbangan awam. Walaupun Musolla ini di bawah tanggungan komuniti, niatnya tetap terbuka untuk semua yang ingin beribadat,” kata pihak AJK.
Sumber: PU Azhar Hilmi, Majoriti
