Situasi banjir di Taiping dilaporkan semakin serius apabila seramai 1,931 mangsa dari daerah Larut, Matang dan Selama serta Manjung terpaksa dipindahkan ke 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 pagi tadi.
Di daerah Manjung sahaja, seramai 378 individu daripada 115 keluarga telah dipindahkan ke tiga PPS berikutan kediaman mereka dinaiki air.
Baca juga: 11 Golongan Ini Diharamkan Cium Bau Syurga, Ramai Tak Sangka Rupanya Selalu Berlaku Dalam Hidup
BANJIR DI TAIPING: RAMAI PENDUDUK TERJEJAS

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, PPS berkenaan dibuka secara berperingkat susulan peningkatan paras air dan jumlah penduduk yang terjejas.
Antara lokasi yang dijadikan tempat perlindungan termasuk Dewan Orang Ramai Simpang Halt, Dewan Perdana Trong, Sekolah Kebangsaan Simpang serta beberapa masjid dan dewan komuniti berhampiran.
Turut tular di media sosial, gambar lelaki yang dilihat menggendong bayi kecil tinggi-tinggi sambil meredah arus banjir deras bagi menyelamatkan diri serta ahli keluarganya.
Menerusi perkongsian tersebut, tindakan berani lelaki berkenaan meraih perhatian ramai yang memuji kecekalan dan kasih sayangnya terhadap keluarga di saat cemas.
Ramai pengguna media sosial turut mendoakan keselamatan mereka serta semua mangsa banjir yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Bagi kawasan Manjung pula, mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Pantai Remis dan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.
Operasi menyelamat dan pengagihan bantuan dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan di negeri tersebut, manakala paras air di Sungai Kurau dan Sungai Kerian kini dilaporkan menghampiri tahap amaran.
Baca juga: Main Badminton Tukar Tragedi! Lelaki Tiba-Tiba Rebah & Maut, Tinggalkan Isteri Sedang Hamil…
Sumber: RTM
