Euforia Bola 2026
Teknologi

Dapat Panggilan Tapi Tiada Suara? Jangan Jawab, Itu Perangkap Terbaru Scammer!

panggilan senyap

Jika anda pernah menerima panggilan senyap daripada nombor tidak dikenali, sila hati-hati. Ia mungkin bukan kesilapan semata-mata, sebaliknya satu bentuk taktik terbaharu scammer untuk mengenal pasti nombor aktif, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Beliau menjelaskan, menjawab panggilan jenis ini boleh menyebabkan nombor telefon pengguna dimasukkan ke dalam pangkalan data penipu dan dijadikan sasaran untuk pelbagai bentuk scam pada masa akan datang.

Baca juga: 13 Fakta ‘The Beast’, Kereta Paling Selamat & Canggih Dinaiki Presiden Amerika Yang Digelar Bunker Bergerak!

AWAS PANGGILAN SENYAP PERANGKAP BAHARU SCAMMER

panggilan senyap

Gambar hiasan: Tero Vesalainen (iStock).

“(Ia bagi) mengumpul metadata suara. Walaupun senyap, kadangkala panggilan dirakam untuk mengenal pasti latar bunyi atau suara pengguna.

“Jika mangsa menjawab, nombor akan dimasukkan ke dalam senarai sasaran dan seterusnya dijual atau digunakan untuk penipuan lanjut,” jelasnya.

Apa itu panggilan senyap?

Panggilan senyap ialah panggilan yang dijawab tetapi tiada sebarang suara atau interaksi daripada pemanggil, sebelum talian diputuskan selepas beberapa ketika. Menurut CSM, mangsa yang menjawab panggilan seperti ini berisiko menerima susulan mesej atau panggilan palsu.

“Ada kes di mana selepas terima panggilan senyap, mangsa menerima SMS mengatakan akaun (bank) akan digantung dan diminta untuk menghubungi nombor telefon yang tertera,” kata Amiruddin.

Selain itu, mesej di WhatsApp juga mungkin dihantar kepada mangsa, mengandungi pautan palsu, tawaran kerja, atau mesej daripada nombor kononnya wakil institusi rasmi.

“Penipu mungkin memanggil semula tetapi dengan menyamar sebagai (wakil) bank, syarikat kurier, Lembaga Hasil Dalam Negeri, atau agensi kerajaan. Kadang-kadang nombor pemanggil dipalsukan (spoofing) agar kelihatan seperti nombor tempatan,” jelasnya lagi.

Tak semua panggilan senyap adalah scam

Menurutnya lagi, tidak semua panggilan senyap datang daripada scammer, ada juga yang berlaku secara tidak sengaja. Namun, pengguna boleh mengenal pasti tanda-tanda mencurigakan seperti:

  • Panggilan senyap berlaku berulang kali daripada nombor berbeza
  • Nombor telefon luar negara atau terlalu panjang
  • Tiada bunyi latar manusia biasa dalam talian

“Scammer juga menggunakan nombor antarabangsa pelik atau membuat panggilan berulang kali. Ini berbeza dengan panggilan tidak disengajakan yang biasanya diputuskan segera selepas pemanggil sedar,” jelasnya.

Amirudin menambah, kadangkala mangsa akan menerima panggilan susulan mencurigakan selepas panggilan senyap, contohnya daripada nombor yang mendakwa dari pihak bank, polis atau mahkamah.

Baca juga: Sijil Kelahiran Lama Jenis Bertulisan Tangan Dah Tak ‘Valid’ Untuk Urusan Rasmi, Kena Tukar Sekarang!

panggilan senyap

Gambar hiasan: Jcomp

Tindakan jika terima panggilan senyap

Langkah paling selamat ialah menamatkan panggilan dengan segera bagi mengelak nombor anda dikenal pasti sebagai aktif oleh sistem automatik (robocall).

“Namun, jika benar panggilan itu penting, pemanggil pasti akan cuba menghubungi semula, menghantar SMS, WhatsApp, atau meninggalkan pesanan suara,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan segera melaporkan nombor mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Antara langkah lain yang disarankan:

  • Gunakan fungsi sekatan panggilan tidak dikenali pada telefon pintar
  • Guna aplikasi seperti Truecaller atau Whoscall untuk mengesan nombor spam
  • Laporkan nombor berulang kepada SKMM atau syarikat telekomunikasi

Langkah perlindungan tambahan

Selain menyekat nombor, CSM menyarankan pengguna mengambil langkah proaktif untuk mengelak menjadi mangsa:

  1. Elak berkongsi nombor telefon di media sosial secara terbuka.
  2. Didik ahli keluarga mengenai taktik penipuan terkini.
  3. Gunakan dua nombor berasingan, satu untuk peribadi dan satu lagi untuk urusan umum.
  4. Pantau akaun kewangan dan digital secara berkala.
  5. Sentiasa sahkan sebarang panggilan dengan menghubungi semula organisasi melalui nombor rasmi.

Kesimpulannya, scammer kini semakin licik dengan pelbagai helah baharu. Jangan mudah panik apabila terima panggilan senyap, lebih baik abaikan daripada menjadi mangsa seterusnya.

Baca juga: Kad Maybank Rosak Atau Tamat Tempoh? Tak Perlu Susah Ke Bank, Ini 7 Langkah Pantas Buat ‘Online’

Sumber: Sinar Harian (BERNAMA)

FT Image: Jcomp

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×