Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa anak Mia Ahmad autism dan baru-baru ini pelakon itu tampil berkongsi perjalanan sebenar yang cukup menyentuh hati sebagai seorang ibu kepada anak istimewa.
Dalam coretan jujurnya di Instagram, Mia membuka kisah dari awal kelahiran anak sulungnya, Issa, sehinggalah ke detik sukar apabila anak kecil itu disahkan menghidap High-Functioning Autism.
Baca juga: Kantoi Teman Perempuan Lain Di Klinik, Suami Kena Lempang Depan Orang! “Puas Hati Tengok..”
ANAK MIA AHMAD AUTISM, “SAYA LEBIH DEKAT KEPADA ALLAH”

Kisah yang diceritakan ini bukan sekadar berkisar tentang cabaran menjaga anak autism, tetapi juga tentang perubahan diri, keinsafan dan kekuatan seorang ibu yang belajar menerima takdir Allah dengan hati terbuka.
Seperti kebanyakan ibu bapa baru, Mia juga melalui fasa mencuba pelbagai cara dan menyediakan permainan serta pakaian berjenama dengan harapan memberi yang terbaik untuk anak sulungnya. Namun, tahun kedua menjadi titik mula kebimbangan dalam hidupnya.
“Tahun pertama menjadi ibu, saya benar-benar masih tercari-cari arah. Sebagai ibu baru, saya banyak buat percubaan dan kesilapan mencuba pelbagai pendekatan, memberi mainan yang berlambak-lambak di hadapan Issa, pakaikan dia pakaian jenama mahal semuanya kerana saya fikir itu yang terbaik untuknya pada waktu itu.
“Namun, tahun kedua adalah tahun yang paling menakutkan dalam hidup saya. Ketika itulah saya mula menyedari tanda-tanda kelewatan dalam perkembangan Issa. Paling ketara, dia semakin hilang fokus dan tidak lagi melakukan eye contact,” jelasnya.
Mia mula perasan sesuatu yang berbeza pada perkembangan Issa. Anak kecil itu perlahan-lahan hilang fokus, tidak lagi memberi respon apabila dipanggil, sering terjaga pada waktu malam, menangis apabila terdengar bunyi kuat dan menghadapi pelbagai masalah berkaitan sensitiviti deria.
Kemuncaknya, apabila Issa disahkan menghidap High-Functioning Autism, Mia mengakui itu adalah titik paling rendah dalam hidupnya.
“Saya fikir saya mampu kawal segalanya, saya lupa bahawa Allah, Al-Malik, adalah pemilik sebenar langit dan bumi,” tulisnya penuh penginsafan.
Namun, itulah detik perubahan terbesar dalam hidupnya yang membawa Mia kembali dekat kepada Allah, mengakui kelemahan diri dan mula belajar untuk melepaskan sifat ingin mengawal segalanya.
Kini setelah 7 tahun berlalu, Mia meluahkan rasa syukur atas setiap perjalanan yang dilaluinya. Ujian itu sebenarnya hadir dalam bentuk ‘bungkusan hadiah’ daripada Allah yang telah membentuk dirinya menjadi insan yang lebih kuat dan berjiwa besar.
Dalam hantaran yang sama, Mia turut menitipkan kata-kata semangat buat ibu bapa lain yang turut diuji dengan anak istimewa. Dia juga menyatakan harapan agar anak-anak istimewa ini menjadi asbab untuk ibu bapa bertemu mereka semula di syurga kelak.
Perkongsian Mia Ahmad nyata membuka mata ramai, bahawa setiap anak adalah anugerah. Walau hadir dalam bentuk ujian, hakikatnya mereka membawa rahmat dan pengajaran yang tidak ternilai.
Baca juga: Anak 4 Tahun Alami Kencing Berdarah & Muka Jadi Gelap, Makanan & Minuman Berwarna Jadi Punca
Sumber: Mia Ahmad
