Pada pandangan luar, Zul Ilhan Hasif Zul Izuddin, 18 tahun, kelihatan seperti remaja biasa dengan mempunyai karakter pendiam, pemalu dan gemar menyendiri. Namun siapa sangka, di sebalik perwatakannya yang tenang, tersembunyi satu rahsia yang hanya terbongkar selepas dia menginjak usia 17 tahun iaitu dia adalah anak istimewa.
Zul Ilhan rupa-rupanya menghidap autisme berfungsi tinggi, atau High-Functioning Autism (HFA) dan selama ini tidak pernah menyedarinya.
Baca juga: Ini Senarai Ranking Sekolah Yang ‘Top’ SPM 2024 Untuk SBP & MRSM, Tahniah Buat Semua!
BARU TAHU DIRI ANAK ISTIMEWA SELAMA 17 TAHUN, DAPAT 9A SPM DAN DIGELAR GENIUS!

Apa yang lebih mengagumkan, meskipun baru mengetahui tentang keadaannya tahun lalu, Zul Ilhan tidak menjadikannya penghalang. Sebaliknya, dia membuktikan kemampuan diri apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro.
Menurut Zul Ilhan, dia sendiri tidak pernah menyangka bahawa dirinya tergolong dalam kelompok individu istimewa. Sifat pendiam dan kesukaran untuk bersosial disangka hanya ciri-ciri semula jadinya sebagai seorang yang pemalu. Namun segalanya berubah apabila dia membaca satu bab berkaitan autisme dalam buku teks Bahasa Melayu.
“Saya baca tentang ciri-ciri autisme, dan semuanya seakan menggambarkan diri saya. Dari situ saya buat refleksi, dan akhirnya disahkan oleh pakar bahawa saya menghidap HFA.”
Zul Ilhan mengakui, sebelum mendapat penjelasan tentang dirinya, dia sering menjadi bahan ejekan. Ada juga yang menyangka dia berkelakuan pelik secara sengaja. Namun selepas diagnosis disahkan, ada yang mula memahami meskipun masih ada segelintir yang terus bersikap sama.
Autisme Bukan Penghalang Untuk Berjaya, Minat Bidang Animasi

Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Zul Ilhan kini menjadi teladan buat adik-adiknya. Dia percaya bahawa sesiapa pun, termasuk golongan autisme, mampu mencapai kejayaan jika bakat dan minat digilap dengan betul.
“Saya bercita-cita untuk menjadi pelukis komik. Saya amat meminati kisah-kisah legenda seperti Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang. Saya berharap suatu hari nanti, cerita-cerita ini dapat diketengahkan di peringkat dunia,” katanya.
Zul Ilhan menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang animasi dan anggap ini dunia yang menjadi medium ekspresi untuk segala imajinasi dan kisah yang tersimpan dalam dirinya. Walaupun diagnosis tersebut mengejutkan pada awalnya, Zul Ilhan menerimanya dengan lapang dada. Baginya, cabaran sebenar bukanlah pada gelaran autisme, tetapi bagaimana orang di sekeliling menerima dan memahami dirinya.
Ibu bapanya, Zul Izuddin Abdul Rahman dan Hanny Norza’atul Syima Othman, kedua-duanya berusia 45 tahun, tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan bangga terhadap pencapaian anak sulung mereka.
“Waktu dia umumkan keputusan SPM, kami sangat terkejut. Bukan sebab kami tak yakin, tapi sebab dia berjaya buktikan potensi sebenar yang selama ini tersembunyi. Dia lalui 17 tahun dalam ketidaktentuan, mencari jawapan tentang dirinya sendiri, ” kata bapanya.
*Kisah Zul Ilhan Hasif menjadi peringatan penting kepada semua ibu bapa bahawa setiap anak mempunyai keunikan tersendiri. Kadangkala perbezaan itu bukan kekurangan, malah boleh menjadi kelebihan yang menonjol jika diberi ruang dan galakan. Tahniah!
Baca juga: Nak Masuk MRSM, SBP & Sekolah Kluster Kena ‘Reject’ Sebab T20? Kena Tahu Beza 3 Sekolah Ini
Sumber: Harian Metro
