Anak kedua pasangan pelakon Linda Hashim dan Beego, Anggun Cassandra, kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami luka melecur serius akibat tertumpah kuah makaroni panas pada malam Sabtu lalu.
Berita tersebut dikongsikan sendiri oleh Linda dan Beego menerusi hantaran di Instagram, di mana mereka memohon orang ramai menitipkan doa agar puteri mereka kembali pulih seperti sedia kala.
Baca juga: Ibu Rayu Sumbangan Dana Selamatkan Nyawa Anak Usia Setahun, Sedang Jalani Rawatan Di China!
KAKI ANAK KEDUA LINDA HASHIM & BEEGO ALAMI LUKA MELECUR

Instagram Beego
“Mohon segala doa kesembuhan untuk anak saya Anggun Cassandra yang melecur terkena air panas,” tulis pasangan itu.
Menurut Linda, kecederaan yang dialami anaknya bukan sekadar luka biasa, sebaliknya disahkan doktor sebagai luka melecur tahap tiga pada bahagian kaki kanan.
Disebabkan kecederaan agak dalam, Anggun sepatutnya menjalani pembedahan tampal kulit. Namun, prosedur itu terpaksa ditangguhkan kerana anaknya mengalami batuk, sekali gus menyukarkan pemberian bius.
“Luka melecur anak saya agak dalam juga, doktor mengesahkan luka lecuran itu di tahap ketiga. Sepatutnya anak saya perlu menjalani pembedahan tampal kulit tetapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan kerana mengalami batuk.
“Jadi doktor tak boleh nak bagi bius, kita pantau saja untuk beberapa hari ini. Sekarang ini doktor hanya boleh cuci luka. Bila batuk dia dah okay sikit tengok keadaan macam mana, kalau luka masih tak okay memang akan jalani pembedahan juga,” jelas Linda.
Lihat siaran ini di Instagram
Menceritakan detik kejadian, Linda berkata anak sulungnya, Jelita Clarissa, secara tidak sengaja terjatuh ketika cuba mengambil mangkuk berisi kuah makaroni panas. Akibatnya, kuah tersebut tertumpah dan terkena pada kaki Anggun.
Menyedari keadaan itu, Linda segera membawa Anggun ke klinik sebelum dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Sepanjang tempoh rawatan, Linda menjadi penjaga utama kerana peraturan wad yang sangat ketat bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman.
“Buat masa ini memang saya sahaja yang menjaga Anggun kerana wad ini sangat ketat. Pesakit di wad ini dijaga rapi kerana kebersihan sangat diutamakan bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman.
“Jadi kalau Beego nak jaga pun kena tunggu seminggu dulu dan kemudian kami perlu bergilir-gilir. Saya juga tidak boleh menerima sebarang pelawat,” katanya.
Dalam masa yang sama, Linda berharap agar lebih ramai mendoakan kesembuhan anaknya.
“Saya sekarang ini cuma mengharapkan doa orang ramai. Saya minta mana-mana kenalan saya termasuk ustaz dan ustazah untuk mendoakan dan kalau boleh kongsikan ayat (al-Quran) apa yang saya boleh amalkan.
“Saya minta sangat orang ramai supaya mendoakan kesembuhan anak saya,” ujarnya penuh harapan.
Untuk rekod, Linda dan Beego berkahwin pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan, iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, dan Indah Camelia, 6.
Baca juga: Bayi Tidur Maut Tertindih, Ibu Mengaku Cuai & Menangis Teresak Ketika Ditunjukkan Gambar Anaknya!
Sumber: MStar / Instagram Beego & Linda Hashim
FT Image: Instagram Beego & Linda Hashim
