Berkhatan adalah proses ‘pembersihan’ alat kemaluan yang perlu dilalui oleh kanak-kanak lelaki yang telah akil baligh. Untuk zaman sekarang, terdapat pilihan lain selain berkhatan secara tradisional di kampung iaitu sunat laser.
Namun, ada juga dalam kalangan ibu bapa yang bertanya apabila mereka mempunyai anak autisme atau sindrom down, perlu atau tidak mereka dikhatankan? Berikut merupakan penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus.
Baca juga: Umur 30 Tahun Baru Nak Berkhatan? Ini Hukumnya Termasuk Untuk Lelaki Mualaf
ANAK AUTISME, SINDROM DOWN WAJIB BERKHATAN

Merujuk kepada portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), autisme dan sindrom down dikategorikan sebagai salah satu kurang upaya pembelajaran.
Autisme merupakan gangguan perkembangan neuro sepanjang hayat manakala sindrom down pula adalah kecacatan fizikal dan mental disebabkan oleh masalah genetik yang berlaku sebelum kelahiran. Lazimnya, keadaan ini boleh membuatkan seseorang itu berkelakuan berbeza daripada orang biasa.
Namun, adalah penting untuk ibu bapa beragama Islam tahu bahawa, berkhatan adalah ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam sama ada lelaki mahupun perempuan termasuklah golongan autisme.
Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata, perbuatan berkhatan tidak akan menjejaskan atau memudaratkan kesihatan seseorang itu bahkan ia adalah satu cara untuk menyihatkan tubuh badan.
“Khatankanlah anak-anak autisme, sindrom down ini. Kalau boleh khatan awal, dua tahun atau enam bulan lebih baik. Kerana anak ini berkemungkinan dia akan sembuh, dan kalau dia sembuh maknanya dia sudah berkhatan dalam keadaan bersih”.
Walaupun anak-anak autisme dan sindrom down ini kurang sempurna dari kebolehan akalnya malah mereka tidak ada kewajipan syarak untuk solat dan sebagainya, tetapi jika mereka sembuh, mereka akan sembuh dalam keadaan sudah pun berkhatan.
Ustaz Azhar mengulas perkara tersebut bagi menjawab persoalan seorang individu yang bertanya sama ada perlu anak lelakinya berusia 11 tahun yang menghidap menghidap autisme dikhatankan meskipun tidak pandai bercakap, gagal menguruskan diri sendiri serta kurang berakal.
BOLEH TUNGGU MASA YANG SESUAI KALAU ANAK TAK BERSEDIA

Berdasarkan laman web Jabatan Mufti Selangor, anak yang mempunyai masalah mental atau kurang upaya, tuntutan berkhitan masih tetap dituntut untuk dilaksanakan oleh wali atau penjaganya.
Namun, ia hanya boleh dilakukan jika keadaan mental dan fizikal kanak-kanak itu mengizinkan dan tidak dibimbangi akan memudaratkannya.
“Jika dikhuatiri akan memudaratkannya, gugurlah kewajipan khitan tersebut. Wali atau penjaga hendaklah menunggu masa yang sesuai untuk mengkhitankannya”- UAI
Baca juga: Kelebihan Sunat Laser, Teknik ‘Bakar’ Kulit Untuk Kurangkan Rasa Sakit Anak & Cepat Sembuh
Sumber: Kosmo, Jabatan Mufti Negeri Selangor
