Baru-baru ini, tular berita mengenai Amira Othman kahwin dan diraikan dalam sebuah majlis istimewa anjuran rakan-rakan selebriti terdekatnya termasuk Betty Rahmad dan Nora Danish.
Majlis tersebut diberi nama ‘Usrah Bachelorette’, di mana para tetamu tampil serba putih, berkumpul untuk berdoa, berzikir, dan memberi restu kepada Amira yang bakal menempuh alam rumah tangga bersama Fattah Amin.
Baca juga: Hukum Kubur Digali Semula Untuk Bedah Siasat: Perlukah Ulang Mandi, Kafan & Solat Jenazah?
AMIRA OTHMAN KAHWIN, MAJLIS NAMA ‘USRAH BACHELORETTE’ JADI TANDA TANYA APA HUKUMNYA?

Foto: amiraothman
Ramai memuji pendekatan itu sebagai satu alternatif yang lebih sopan dan berunsur Islamik berbanding parti bachelorette ala Barat yang sering dikaitkan dengan hiburan melampau dan maksiat. Namun, tidak kurang juga yang mempersoalkan penggunaan istilah usrah dalam konteks tersebut sehingga menimbulkan perdebatan hangat di media sosial.
Secara zahir, usaha ini dilihat positif—mengisi malam terakhir sebelum bergelar isteri dengan doa dan pengisian rohani. Namun, timbul persoalan penting: adakah wajar kita “mengislamisasikan” budaya asing lalu memberi jenama baharu kepadanya?
Untuk pengetahuan anda, dalam Islam terdapat larangan tasyabbuh bil kuffar (meniru adat atau amalan khusus orang bukan Islam). Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka.”– (Riwayat Abu Daud)
Walaupun isi majlis seperti zikir dan doa adalah halal, acuan asalnya iaitu majlis bachelorette tetap berasal daripada budaya luar. Ulama menegaskan bahawa peniruan bukan sekadar pada perkara haram, tetapi juga pada adat khas yang boleh melunturkan identiti seorang Muslim.
Perdebatan menjadi lebih panas kerana penggunaan istilah ‘usrah’. Dalam tradisi Islam, usrah merujuk kepada bulatan ilmu (halaqah) yang tersusun, tempat membina iman, mengkaji al-Quran dan hadis, serta memperkukuh peribadi Muslim.
Menggunakannya untuk sebuah majlis pra-perkahwinan yang berbentuk trend dianggap mengelirukan dan boleh merendahkan makna sebenar perkataan itu. Seolah-olah ia hanya sekadar tema untuk meriahkan suasana, bukan satu usaha tarbiah yang tulen.
Islam Sudah Sediakan Alternatif, Betty Rahmad Bagi Penjelasan

Foto: amiraothman
Sebenarnya, Islam sudah menyediakan cara indah untuk meraikan bakal pengantin tanpa perlu meminjam budaya luar. Antaranya:
- Majlis doa selamat secara ringkas.
- Memberikan hadiah atau nasihat perkahwinan kepada bakal pengantin.
- Berkumpul secara sederhana untuk mengeratkan silaturahim.
Semua ini menepati roh Islam yang menekankan kesederhanaan, keberkatan, dan keaslian tanpa perlu meniru trend yang meragukan. Menyedari kritikan yang timbul, Betty Rahmad tampil menjelaskan niat sebenar di sebalik pemilihan nama tersebut.
“Mula-mula nak letak ‘Bachelimah’ iaitu bachelorette versi muslimah. Tapi rasa macam tak sesuai pula nama itu. Jadi saya letaklah Bachelorette Usrah,” katanya di laman Threads.
Betty turut mengakui tidak menyangka istilah itu menimbulkan isu. “Tak sangka pula jadi perdebatan. Tidak mengapa, biar saya yang dipersalahkan,” ujarnya dengan nada berlapang dada.
Kesimpulannya, walaupun niat meraikan bakal pengantin dengan cara yang lebih rohani adalah baik, isu penggunaan istilah dan konsep yang diadaptasi daripada budaya asing wajar diberi perhatian. Umat Islam perlu berhati-hati agar tidak mencampuradukkan sesuatu yang datang daripada sunnah dengan trend semasa yang boleh membawa kekeliruan.
Baca juga: Syukur! Rantai Emas Hilang Bernilai RM600 ‘Dipulangkan’ Semula Selepas Ikhtiar Baca 7 Doa Ini
