Euforia Bola 2026
Kerjaya

Alumni PLKN 3.0 Akan Dapat ‘Extra Point’ Bila Mohon Kerja Sektor Awam, Dihargai Sebab Patriotik!

PLKN 3.0

Berita baik kepada semua yang terlibat dalam penyertaan dalam PLKN 3.0 (Program Latihan Khidmat Negara) kerana kini memberi kelebihan tersendiri kepada belia yang bercita-cita mahu berkhidmat dalam sektor awam.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran, mengumumkan bahawa alumni PLKN 3.0 bakal menerima merit tambahan khas dalam proses pertimbangan permohonan kerja kerajaan!

Baca juga: Graduan UiTM Jadi Rebutan, Universiti Ini Kekal Jadi Pilihan Majikan Dengan 92.1% Kebolehpasaran Kerja!

ALUMNI PLKN 3.0 DAPAT KEUTAMAAN UNTUK MOHON SEKTOR AWAM

PLKN 3.0

Foto: BERNAMA

Langkah ini, katanya, membuktikan komitmen kerajaan dalam menghargai semangat patriotik dan nilai kepimpinan yang diasah melalui program berkenaan.

“PLKN bukan sekadar latihan fizikal. Ia adalah medan pembentukan jati diri, disiplin, kepimpinan serta semangat kesukarelawanan. Pengiktirafan ini menunjukkan kerajaan menghargai nilai-nilai tersebut dalam perkhidmatan awam,” jelasnya ketika berucap pada Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 3/2025.

Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal.

Majlis perbarisan tamat latihan yang diadakan serentak di dua kem menyaksikan 642 pelatih (340 lelaki dan 302 wanita) berjaya menamatkan latihan bermula 7 September lalu, masing-masing di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah bagi pelatih wanita dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang untuk pelatih lelaki.

Merit Khas dan Kuota Istimewa

PLKN 3.0

Foto hiasan.

Malah, terdapat beberapa suruhanjaya utama turut tampil memberikan pengiktirafan khusus kepada alumni PLKN 3.0:

1. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menetapkan kuota khas 30% kepada alumni PLKN 3.0 yang menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) untuk dipertimbangkan ke peringkat seterusnya.

2. Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pula mengiktiraf Sijil PLKN 3.0 sebagai dokumen sokongan dengan tambahan sehingga lima markah merit bagi aktiviti kokurikulum.

3. Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) menyediakan keutamaan 30% kuota temu duga kepada alumni yang melepasi tapisan asas PSEE.

4. Suruhanjaya Pasukan Polis menawarkan tambahan satu peratus merit kepada calon PLKN 3.0 semasa sesi temu duga, tertakluk kepada syarat pelantikan dalam PDRM.

5. Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MAT) turut mempertimbangkan merit khas bagi pemilihan sebagai perajurit muda atau pegawai kadet dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Datuk Ya’cob, merit khas ini akan dimasukkan dalam penilaian keseluruhan semasa proses tapisan awal, memberi kelebihan kepada pemohon yang memiliki sijil PLKN.

“Usaha ini mampu meningkatkan daya saing belia yang berdisiplin dan berpotensi tinggi untuk menyertai perkhidmatan kerajaan, terutamanya dalam bidang keselamatan,” tambahnya.

Langkah pengiktirafan merit PLKN 3.0 ini bukan sahaja mengiktiraf usaha para pelatih, tetapi juga menjadi simbol bahawa semangat khidmat kepada negara sentiasa relevan dan dihargai dalam membina generasi belia berwawasan.

Baca juga: Kajian Microsoft Dedah 40 Jenis Kerjaya Dalam Risiko & Semakin Pupus, AI Dah Ambil Alih!

Sumber: Buletin TV3

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×